Islam tetap terpelihara di bawah PH, kata Mufti Perak

Islam tetap terpelihara di bawah PH, kata Mufti Perak

IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melihat, kedudukan Islam tetap terpelihara walaupun pentadbiran kerajaan bertukar tangan kepada Pakatan Harapan.

Pada ketika ini, beliau tidak nampak sebarang tekanan terhadap agama Islam di negara ini.

“Kedudukan Islam di negara ini masih terpelihara walaupun tampuk pentadbiran kerajaan bertukar tangan.

“Saya tidak nampak ada tekanan terhadap Islam pada waktu ini, saya tidak nampak ada sekatan kepada gerakan Islam.

“Setakat ini saya tidak nampak dengan ketara Islam tergugat di bawah kerajaan baru,” katanya seperti yang dilaporkan FMT.

Malah kata Harussani, Islam harus dikembangkan lagi khususnya dalam bidang pendidikan.

“Saya lihat, barangkali harus diperbaiki tahap pendidikan, tekankan soal agama. Bukan hanya tahu sembahyang, puasa sahaja, tetapi kefahaman tentang falsafah Islam itu sendiri perlu ditambah,” katanya.

Mengulas mengenai penahanan pendakwah Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang didakwa menghina agama Hindu, Harussani, yang memberi pandangan secara umum berkata, jika seseorang memberi kenyataan menghina agama lain secara terbuka, maka perbuatan sedemikian adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

“Jangan mencaci, menghina agama lain kerana dari segi syarak pun kita tidak dibenarkan mencaci agama lain. Apabila kita caci agama lain akan timbul orang yang caci agama kita balik. Itu akan timbul perpecahan. Nabi tidak benarkan kita caci agama lain dalam mengembangkan Islam.

“Kalau dia mahu menceritakan secara peribadi perbezaan agama, itu pendapat dia, asalkan tidak mencaci agama. Cuma beri pendapat kenapa dia masuk Islam kerana tidak puas hati dengan agama sebelum itu. Itu tidak ada masalah, sebab itu pendapat dia.

“Tetapi kalau dia secara terbuka pergi hina dan caci agama yang dia tinggalkan itu tidak boleh,” katanya sambil memberitahu itu kata-katanya itu tidak ditujukan khusus kepada mana-mana individu kerana tidak mengetahui isu sebenar melibatkan Zamri.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )