Larangan imam luar negara beri peluang kepada pelajar tahfiz – Asmuni

Larangan imam luar negara beri peluang kepada pelajar tahfiz – Asmuni

IPOH: Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tentang larangan imam luar negara menjadi imam solat tarawih perlu dipatuhi oleh semua pihak terutama pentadbiran masjid dan surau di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri, Asmuni Awi berkata, larangan tersebut merupakan satu langkah yang sangat baik kerana ia akan menggalakan penglibatan anak-anak Perak untuk berbakti kepada masyarakat.

Katanya, anak-anak Perak yang telah menuntut ilmu agama terutama di maahad-maahad tahfiz akan mendapat peluang untuk berkongsi ilmu serta memanfaatkan ilmu yang mereka miliki, yang mana sebelum ini mereka terpaksa bersaing dengan imam-imam dari luar negara.

“Titah Tuanku itu merupakan satu langkah yang baik, ia akan menggalakkan penglibatan anak-anak Perak terutama yang belajar di maahad-maahad tahfiz yang mempunyai ilmu serta menghafal Al-Quran.

“Kalau kita tidak gunakan mereka untuk menjadi imam, pada saya kita tidak memberikan peluang untuk mereka amalkan ilmu yang mereka pelajari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Kad Prihatin di Dewan Sungai Tapah, Manjoi, disini pagi tadi.

Walaubagaimana pun, Asmuni mengingatkan agar imam-imam yang dipilih mestilah berkelayakan dan selari dengan keinginan masyarakat.

Jelasnya, imam tersebut mestilah mempunyai bacaan yang baik dari segi sebutan dan tajwidnya serta kemerduan alunannya.

“Memiliki imam yang baik serta penyampaian bacaan surah yang berbeza merupakan antara penarik kehadiran kariah di sesebuah masjid atau surau.

“Oleh yang demikian, pemilihan imam itu juga perlu diteliti dengan baik dan saya yakin pelajar-pelajar lepasan maahad tahfiz punya kriteria itu,” jelasnya lagi.

Semalam, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria memberitahu, Sultan Nazrin Shah Sultan Azlan Shah bertitah tidak membenarkan imam-imam dari luar negara menjadi imam Tarawih di semua masjid di negeri ini.

Oleh itu, Jabatan Mufti Perak mengesyorkan masjid-masjid dan surau-surau di Perak menggunakan khidmat pelajar tahfiz tempatan untuk memimpin solat Tarawih.

Adun Manjoi, Asmuni Awi menyerahkan Kad Perak Prihatin kepada seorang penerima.

Dalam program tersebut, kira-kira 800 orang telah terpilih menerima kad ini dari kalangan golongan yang kurang berkemampuan di dalam Dun Manjoi.

Menurutnya, kad tersebut adalah salah satu inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Perak dalam usaha membantu masyarakat, disamping meneruskan bantuan-bantuan yang sedia ada yang dilaksanakan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal.

“Kerajaan Negeri Perak juga melaksanakan program Kotak Makanan yang mana setiap bulan sebanyak 6000 kotak diagihkan kepada penerima yang berlainan.

“Doakan agar segala usaha kami dipermudahkan dalam memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat,” jelasnya lagi.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )