Perak ikat dua pemain import baharu dari Brazil

Perak ikat dua pemain import baharu dari Brazil

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengikat dua pemain import baharu dari Brazil iaitu Ronaldo Henrique Silva dan Rai anderson Da Costa Morais selepas jendela perpindahan kedua Liga Bola Sepak Malaysia bagi musim 2019 dibuka pada 2 Mei lalu.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kedua-dua pemain telah bersetuju untuk menandatangani kontrak selama enam bulan dan dijangka akan diturunkan pada perlawanan suku akhir kedua Shopee Piala FA 2019 menentang PKNP FC pada 11 Mei ini. 

Katanya, beliau berharap kedua-dua pemain akan dapat membantu skuad The Bos Gaurus memenangi perlawanan tersebut selain memperbaiki kedudukan pasukan dalam kempen Liga Super 2019.

“Dengan temeterainya perjanjian kedua-dua pemain ini dengan pasukan kita, ia dapat memantapkan lagi pasukan. Sasaran saya untuk liga super,  kita perlu mendapatkan tempat keempat sekurang-kurangnya. Bagi saya ia adalah sasaran yang realistik.

“Namun untuk Piala FA, saya mempunyai harapan yang cukup tinggi, begitu juga penyokong. Mungkin kita boleh rangkul kejuaraan (Piala FA) bagi musim ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar, di sini, hari ini. 

Terdahulu, Ronaldo, 28, yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Esporte Club di Brazil bakal menggantikan bekas penyerang, Gilmar Jose Da Silva yang terpaksa digugurkan akibat masalah prestasi.

Manakala Raianderson, 23, bekas tonggak Atletico Acreano yang beraksi dalam Liga Brazil pula akan mengisi kekosongan ditinggalkan Wander Luiz Junior akibat masalah peribadi. 

Pemain import yang masih kekal dalam pasukan The Bos Gaurus adalah Zac Anderson dan Leandro Dos Santos.

Mengulas desas-desus PAFA bakal menggugurkan pemain pertahanan import, Zac Anderson, beliau berkata, perkara itu tidak benar selain pihaknya masih berpuas hati dengan prestasi ditampilkan pemain berasal dari Australia itu. 

“Saya tidak tahu daripada mana berita ini tersebar. Bagi saya dan jurulatih, kita masih berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan Zac sejak beliau menyarung jersi pasukan,” katanya. 

Sementara itu, pengendali Perak, Mehmed Durakovic berkata, beliau memilih untuk menandatangani kedua-dua pemain itu selepas mendapat nasihat daripada rakan sejawatan yang mengemudi beberapa pasukan di Liga Brazil. 

Katanya, beliau yakin kedua-dua pemain itu akan mempamerkan aksi terbaik sekali gus membantu Perak dalam meraih keputusan memberangsangkan dalam kancah Liga Malaysia. 

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )