Ujian dan kesusahan orang membuatkan saya bersyukur – Hasnul

Ujian dan kesusahan orang membuatkan saya bersyukur – Hasnul

IPOH: Pemuda AMANAH Negeri Perak semalam telah mengadakan program Ziarah Kasih Ramadan bagi menyantuni golongan yang kurang bernasib baik dan sangat memerlukan.

Program tersebut telah diadakan di Klebang Restu dan Kampung Seri Kelebang melibatkan empat buah keluarga yang susah serta diuji dengan kesihatan.

Ketua Pemuda AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain berkata, selain menziarahi dan menyantuni keluarga tersebut, pihaknya telah menyampaikan bantuan keperluan makanan.

Beliau menceritakan, salah satu rumah yang dilawati sangat menyedihkan kerana tiga daripada empat anaknya mengalami sakit yang agak kronik.

“Anak lelaki sulung keluarga ini mempunyai masalah gegaran di otak manakala anak perempuan pula menghidap sakit lelah yang kronik. Anak keduanya pula mempunyai masalah buah pinggang dan kemurungan serta saraf.

Hasnul tidak mampu menahan sebak melihat keadaan seorang lelaki yang diuji kesihatan oleh Allah.
Hasnul memeluk dan sebak melihat kesusahan yang dialami oleh sebuah keluarga.
Ketua Pemuda AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain menyampaikan sumbangan bantuan makanan kepada seorang penerima.

“Ketika kami sampai dan melihat keadaan anak-anak keluarga ini, saya ternyata tidak mampu menahan kesedihan,” katanya.

Exco Kerajaan Negeri Perak itu berkata, beliau tidak mampu membayangkan betapa besarnya ujian dan tingginya kesabaran ibu yang telah membesarkan anak-anak yang masing-masing diuji dengan kesakitan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Pemuda AMANAH Perak juga telah menziarahi keluarga yang mana ahli keluarga mereka menghidap penyakit-penyakit kronik.

Mereka ini katanya dikenalpasti oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sayang sentiasa memberi perhatian terhadap nasib masyarakat di kawasan masing-masing.

Tegasnya, insan yang kurang bernasib baik ini wajar diambil perhatian oleh semua pihak, bukan sahaja kerajaan tetapi masyarakat sekeliling.

“Mereka ini perlukan sokongan dan dokongan daripada kita, luluh hati melihat keadaan mereka.

“Melihat kepada mereka yang diuji ini membuatkan kita rasa sangat bersyukur nikmat yang Allah berikan kepada saya. Nikmat kesihatan, nikmat keluarga, nikmat kesenangan dan nikmat kebahagian,” katanya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )