Dua gol Ronaldo bantu Perak ke separuh akhir

Dua gol Ronaldo bantu Perak ke separuh akhir

IPOH: Dua gol jaringan pemain import baharu, Ronaldo Henrique Silva membantu Perak mara ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan PKNP FC 2-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Pemain berusia 28 tahun dari Brazil itu tidak menunggu lama untuk membuktikan ketajaman yang dimilikinya pada penampilan sulung bersama skuad ‘The Bos Gaurus’ apabila meledak dua pada setiap babak selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada pertemuan aksi pertama.

Berbekalkan kelebihan laman sendiri, Perak mengorak langkah apabila Ronaldo bijak menyudahkan lorongan rakan sepasukan, Muhammad Shahrel Md Fauzi dari sebelah kanan gawang lawan pada minit ke-23.

PKNP FC di bawah bimbingan ketua jurulatih Abu Bakar Fadzim kemudian berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72 menerusi sepakan percuma cantik pemain import dari Brazil, Giancarlo Lopez untuk memberikan PKNP FC kelebihan berdasarkan gol di tempat lawan.

Perak, bagaimanapun, enggan berputus asa apabila terus mengasak sebelum Ronaldo sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada pasukan lawan dengan menanduk masuk gol kedua pada minit ke-88 sekali gus mengesahkan kemaraan Perak.

Kejayaan itu menyaksikan Perak bakal membuat perhitungan berdepan juara bertahan, Pahang pada aksi separuh akhir.

Pada masa sama, Felda United turut menempah tiket separuh akhir dengan kelebihan jaringan tempat lawan selepas seri tanpa jaringan berdepan Kuala Lumpur di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Skuad yang diberi jolokan ‘The Fighters’ itu akan bertemu juara edisi 2017, Kedah dalam pusingan pasukan empat terbaik.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )