Bela golongan B40, Orang Asli antara kejayaan setahun PH tadbir Perak

Bela golongan B40, Orang Asli antara kejayaan setahun PH tadbir Perak

IPOH: Dua belas bulan atau lebih tepat setahun bukanlah satu jangka masa panjang untuk membuat pelbagai percaturan, apatah lagi merealisasikannya dalam bentuk tindakan yang berupaya memberi impak kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Namun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 12 Mei 2018 berjaya membuktikan jangka masa bukanlah halangan atau alasan untuk tidak melaksanakan tanggungjawab serta amanah rakyat.

Pemilikan rumah dan kelangsungan hidup golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) serta masyarakat Orang Asli merupakan antara puluhan isu yang diberi perhatian oleh Ahmad Faizal selama setahun memimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan negeri di Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menteri besar Perak itu mengakui prestasi terbaik PH di Perak adalah keupayaan menyediakan Rumah Mampu Milik yang memfokuskan kepada golongan B40 sebagaimana terkandung dalam manifesto semasa PRU14 untuk menyiapkan 50,000 unit rumah dalam tempoh lima tahun.

“Tapi dalam tempoh setahun ini sebanyak 34,000 unit rumah sedang dan akan dibina yang mana lokasinya sedang dikenal pasti. Kita perlu kerja keras untuk mencapai sasaran membina 50,000 unit rumah atau lebih daripada itu,” katanya dalam satu temu bual khas bersama media sempena setahun PH di Perak di sini, baru-baru ini.

Bagi membantu golongan kurang berkemampuan, Ahmad Faizal yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata kerajaan negeri di bawah pimpinannya telah memperkenalkan skim bantuan Kad Perak Prihatin.

Kad tersebut yang tidak termaktub secara spesifik dalam Manifesto PH tetapi merupakan langkah proaktif kerajaan negeri untuk menjaga kebajikan rakyat menyediakan bantuan bulanan bagi makanan RM80, manakala untuk perubatan RM300 dan kini diberikan kepada 17,000 penerima.

Kata Ahmad Faizal, transaksi pembelian dan perkhidmatan kesihatan adalah secara tanpa tunai yang boleh digunakan di kedai atau pasar raya serta klinik yang dilantik sebagai panel.

“Saya berharap kerajaan negeri dapat tambah pendapatan supaya dapat jalankan usaha untuk bantu bawa mereka keluar daripada garis kemiskinan,” katanya.

Demi membela nasib masyarakat Orang Asli, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri juga telah menggerakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat untuk mengambil penempatan golongan minoriti itu sebagai kampung angkat.

Menjelas lanjut, Ahmad Faizal yang juga Anggota Parlimen Tambun berkata program yang dilancarkan oleh kerajaan negeri pimpinan PH selepas PRU14 itu bertujuan menggerakkan pembangunan sosioekonomi dan pendidikan secara holistik dalam kalangan masyarakat tersebut.

“Walaupun di Perak mempunyai 265 kampung, sekarang ini sembilan kampung (Orang Asli) diambil menjadi kampung angkat…tidak mengapa, tidak perlu buat 20, 30 tetapi berhenti setengah jalan, kita usaha satu persatu,” katanya.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri akan mencari jalan untuk membantu petani yang mengusahakan tanaman kontan secara kecil-kecilan.

Katanya petani berkenaan seharusnya dibantu kerana mereka hanya bergantung hidup pada tanaman yang diusahakan tanpa mesin, lori, pekerja dan hanya memperoleh pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga menubuhkan Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi Di Sepanjang Jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) bagi menyediakan laporan cadangan mengenai industri atau perkembangan yang dilaksanakan di beberapa daerah termasuk Bagan Datuk dan Perak Tengah.

Ahmad Faizal menarik perhatian dengan berkata Perbadanan Pelaburan Infrastruktur Luar Negara Jepun (JOIN) bersetuju menyediakan perbelanjaan untuk menjalankan kajian mengenai potensi pembangunan pelabuhan dan kawasan perindustrian di Bagan Datuk.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri akan memberi penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan pelajar yang berkemahiran seterusnya memenuhi kehendak pasaran.

Beliau berkata kerajaan negeri juga memberi penekanan terhadap sektor pelancongan dengan menubuhkan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri bagi membolehkan promosi diperhebatkan bagi menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Mengenai pewartaan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai menjelang 1 Jan tahun hadapan, Ahmad Faizal berkata pihaknya sedang mengatur pelbagai perancangan agar destinasi itu dapat dimajukan setaraf atau lebih baik dari Pulau Sentosa di Singapura.

Dengan siapnya jajaran WCE, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Lumut hanya mengambil masa kurang dua jam, maka para pelancong dari ibu kota tentunya akan berkunjung ke destinasi menarik di Pulau Pangkor dan bandar Lumut, kata Ahmad Faizal.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )