Kerajaan Perak sedang usaha capaian 4G atau LTE seluruh negeri

Kerajaan Perak sedang usaha capaian 4G atau LTE seluruh negeri

IPOH: Kerajaan negeri akan menyelaraskan yuran atau fi yang ditetapkan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang sebelum ini berbeza mengikut kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengkaji cadangan penyelarasan semula fi yang dikenakan terhadap pelbagai kategori tanah termasuk tanah rizab, tanah kerajaan, tanah pertanian dan sebagainya agar ia tidak membebankan syarikat-syarikat berkenaan.

“Langkah ini sesuai untuk kita selaraskan agar ia tidak membebankan syarikat telekomunikasi dan rakan penyebaran yang akhirnya mereka dapat mengurangkan kos dan tidaklah pengguna perlu membayar lebih untuk perkhidmatan telekomunikasi ini.

“Beberapa keputusan juga telah dibuat iaitu antara kerajaan negeri dan PBT yang difasilitasi oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mencari jalan tengah supaya dapat disegerakan proses pembinaan menara telekomunikasi di Perak,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Pembangunan Telekomunikasi dan Multimedia negeri Perak untuk kali pertama yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sementara itu, pada mesyuarat kali pertama itu, Hasnul Zulkarnain berkata SKMM ada membincangkan hala tuju atau cabaran yang dihadapi suruhanjaya berkenaan dari segi penyediaan infrastruktur untuk telekomunikasi selain membincangkan bagaimana untuk kerajaan negeri dapat memperoleh sedikit pulangan daripada industri telekomunikasi.

“Hampir tiga bulan kerajaan negeri mencari kaedah agar kita mendapat sedikit pulangan daripada industri telekomunikasi dan juga pihak SKMM dapat ruang keselesaan mereka untuk memastikan pembangunan infrastruktur ini dapat dilaksanakan,”katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga akan berusaha untuk memastikan capaian liputan jalur lebar 4G atau LTE dapat diakses sepenuhnya di seluruh negeri dapat diatasi.

Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita berhubung penggunaan liputan perkhidmatan telekomunikasi bertaraf 5G di Perak, Hasnul Zulkarnain berkata, kerajaan negeri menjangkakan usaha itu akan dapat dilaksanakan menjelang suku kedua atau suku ketiga 2020.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed juga baharu sahaja melancarkan 5G di Malaysia bulan lalu dan kita masih menunggu arahan kerajaan pusat berhubung perkara itu (untuk melancarkan di peringkat negeri),” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )