Sultan Perak berangkat ke majlis Nuzul Quran peringkat negeri

Sultan Perak berangkat ke majlis Nuzul Quran peringkat negeri

BATU GAJAH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negeri Perak di Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Batu Gajah, di sini malam ini.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta anggota exco kerajaan negeri hadir ke majlis berkenaan yang turut disertai kira-kira 1,000 hadirin.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Imam Utama Masjid Panglima Kinta, Ustaz Qamaruzaman Daud diikuti dengan majlis tahlil sebelum berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib bersama tetamu kehormat dan masyarakat setempat di masjid berkenaan.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan melancarkan Program Tadabbur Al-Quran peringkat negeri.

Antara Exco Kerajaan Negeri Perak yang hadir ke majlis tersebut.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bergambar bersama tetamu kehormat.

Program itu diadakan bertujuan untuk membolehkan masyarakat mempelajari ilmu Al-Quran dan pemahaman tafsir secara meluas dengan pelaksanaan program dalam bentuk kelas pengajian di semua jabatan, organisasi dan institusi di seluruh negeri.

Pada majlis itu Sultan Nazrin juga berkenan menyampaikan sumbangan zakat sempena Hari Raya Aidilfitri daripada MAIPk sebanyak RM1.9 juta kepada penghulu yang mewakili 7,610 penerima dari lapan mukim.

Lapan mukim itu ialah Ipoh yang menerima sebanyak RM634,750, Lahat (RM327,000), Ulu Kinta Chemor (RM268,000), Ulu Kinta Tanjung Rambutan (RM262,750), Sungai Raia (RM160,250), Sungai Terap (RM156,000), Tanjung Tualang (RM48,500) serta Belanja Tronoh (RM45,250).

Baginda kemudiannya berkenan menunaikan solat Isyak serta solat Tarawih secara berjemaah dan menyertai jamuan moreh sebelum berangkat pulang.

Pada majlis sama, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Raja Datuk Abd Jalil Raja Zaid turut menyerahkan replika cek, RM50,000 sebagai zakat fisabillillah kepada pihak pengurusan masjid.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )