Kuota Kolej Matrikulasi: Henti sebarang provokasi perkauman, perlu perbincangan tertutup

Kuota Kolej Matrikulasi: Henti sebarang provokasi perkauman, perlu perbincangan tertutup

IPOH: Pemuda AMANAH Negeri Perak mengingatkan kepada pihak tertentu yang cuba menjadikan isu kuota kolej matrikulasi sebagai isu perkauman agar menghentikan sebarang bentuk provokasi.

Ketua Pemudanya Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata,tindakan sedemikian tidak mendatangkan sebarang faedah dan kebaikan kapada pendidikan negara.

“Pemuda AMANAH Perak menegaskan tiada keperluan untuk YB Dr Maszlee Malik, untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pelajaran Malaysia.

“Ini kerana berdasarkan kepada prestasi beliau dalam menerajui KPM, rekod menunjukkan banyak inisiatif yang telah dan sedang diperkenalkan dalam memacu pendidikan negara ke arah sistem yang lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, kuota pengambilan pelajar ke Program Matrikulasi perlu satu perbincangan tertutup antara pimpinan semua pihak yang berkaitan diadakan.

“Ini adalah bagi memberi peluang agar data dan maklumat terperinci dapat dibentangkan seterusnya membuat penilaian sama ada tujuan serta matlamat asal program ini telah tercapai atau pun sebaliknya sebelum apa-apa tindakan berkaitan kuota pengambilan ditentukan.

“Pada ketika ini, kami melihat kuota sedia ada dan pengumuman penambahan jumlah pengambilan daripada 25 000 kepada 40 000 tempat kepada pelajar untuk program ini dikekalkan dan diteruskan.

“Selain itu, kami berpandangan supaya program Tingkatan 6 untuk pelajar-pelajar mengambil SIjil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diperkasakan dan dinilai sama ada wujud keperluan bagi menambah bilangan tempat sebagai satu langkah bagi memberi lebih peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian,” ujarnya lagi.

Pada Khamis Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam ucapannya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang berkata, kuota matrikulasi bukan bumiputera dan keperluan fasih berbahasa Mandarin untuk memohon pekerjaan tidak boleh dilihat secara terpisah.

Jelas Maszlee, adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya kuota matrikulasi untuk bukan bumiputera 10 peratus  dilonggarkan dan pada masa yang sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan yang secara tidak langsung menafikan hak kaum bumiputera.

Dr Maszlee memberitahu, keadilan bukan hanya dilihat dalam aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi sahaja, tetapi juga kelayakan dalam memohon pekerjaan.

Keadaan itu mengundang reaksi kurang senang pelbagai pihak termasuk Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, beberapa pemimpin DAP serta yang terbaharu MCA yang mengkritik dan mengecam kenyataan Maszlee tersebut.

Dalam pada itu, Dominic turut meminta Maszlee untuk menarik semula kenyataannya serta memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

Justeru beberapa kepimpinan dalam PH sendiri mengeluarkan kenyataan mereka mempertahankan Dr Maszlee dan mencabar sekiranya sekolah venekular dihapuskan terlebih dahulu sebelum kuota kemasukan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera dipersoalkan oleh pimpinan DAP,MCA dan Gerakan.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )