Bekalan ayam dan telur di Perak mencukupi

Bekalan ayam dan telur di Perak mencukupi

IPOH: Bekalan makanan utama seperti ayam dan telur bagi negeri Perak adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna sepanjang musim perayaan nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Intergrasi Nasional dan Sumber Manusia, A. Sivanesan berkata pengguna tidak perlu risau kerana bekalan ayam dan telur bagi musim perayaan tahun ini adalah lebih dari mencukupi.

“Oleh kerana bekalan yang mencukupi di pasaran, saya minta kepada peniaga runcit supaya jangan menetapkan harga seperti harga syiling kerana bekalan yang mereka dapat jauh lebih murah daripada harga tersebut.

“Menurut Persatuan Penternak Ayam Perak, bekalan yang mereka dapat itu adalah kurang daripada harga borong iaitu RM5.70 bagi ayam hidup, maka mereka boleh jual lebih murah daripada harga tersebut,” katany, lapor Perak Today.

Ujar Sivanesan lagi, perjumpaan pagi tadi adalah bertujuan untuk memastikan tahap bekalan ayam dan telur di negeri Perak selepas kerajaan melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa, Selasa lepas.

“Melalui skim ini, kita lihat terdapat 6 jenis barangan daripada ayam dan telur berada dalam senarai harga kawalan, antaranya ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A,B, dan C.

“Harga runcit ayam hidup sekilo ialah RM6.20 yang sebelum ini RM7.20. Harga ayam standard sekilo ialah RM7.50, sebelum ini RM8.50. Ayam super pula sekilo RM8.40, sebelum ini RM9.00 dan bagi harga runcit telur gred A adalah RM0.40, diikuti dengan RM0.39 dan RM0.38 bagi gred B dan c.

“Oleh itu saya ingin menegaskan kepada peniaga di luar sana agar berjaga-jaga dengan harga yang ditetapkan tanpa meragut keuntungan daripada pengguna dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana mana peniaga yang tidak mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya lagi.

Pada perkembangan sama, Sivanesan berkata bahawa negeri Perak merupakan pengeluar ayam hidup dan daging ayam yang terbesar di Malaysia dimana bekalannya dihantar ke negeri Kelantan, Pulau Pinang dan juga Kuala Lumpur.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )