Program politik dalam masjid, surau langgar titah Sultan Perak

Program politik dalam masjid, surau langgar titah Sultan Perak

IPOH: Tindakan pemimpin politik pembangkang menggunakan masjid dan surau untuk aktiviti kepartian di Perak baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan melangar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selaku ketua agama, di negeri ini.

Ketua Pemuda AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, Sultan Nazrin, ketika menjadi Raja Muda Perak, pernah menitahkan bahawa masjid dan surau tidak wajar dijadikan pentas permainan politik, sebaliknya harus menjadi instrumen perpaduan untuk menyatupadukan ummah.

Beliau berkata perkara itu turut diberi peringatan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusup Husin, bulan lalu,  supaya Peraturan-Peraturan Pengawasan Pengajaran Agama dan Dakwah 2013 dipatuhi.

“Malangnya ada program dianjurkan di rumah ibadat antaranya oleh Wanita UMNO dan Muslimat PAS Lumut di Masjid Terapung Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar dan di Masjid Al-Khairiah Kampung Banjar, Teluk Intan oleh Pemuda UMNO Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mendakwa UMNO dan PAS turut mengadakan aktiviti politik di sebuah surau di Klebang Prima, dekat sini,  serta membawa kain rentang dengan logo parti masing-masing di dalam masjid dan surau di Kampung Temiang di sini, yang turut dihadiri Timbalan Presiden PAS (Datuk Ibrahim Tuan Man).

Hasnul Zulkarnain, yang juga Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri, berkata lebih menyedihkan program berkenaan dijalankan dengan pengetahuan Ahli Jwatankuasa (AJK) masjid dan tiada sebarang tindakan dibuat bagi mengekang perkara tersebut.

Beliau berkata, tindakan yang dibuat oleh kedua-dua parti itu jelas tidak menghormati institusi agama yang diletakkan di bawah kuasa Sultan Perak, serta mencabar kredibiliti JAIPk dalam menguatkuasakan peraturan sedia ada.

Hasul Zulkarnain, yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak, berkata Pemuda AMANAH Perak juga menggesa semua pihak terutamannya UMNO dan PAS menjalankan program parti di premis lain pada masa akan datang dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan masjid dan surau di negeri ini dengan berselindung di sebalik program keagamaan.

“AJK masjid dan surau diminta bertindak tegas dalam perkara ini meskipun sebahagiannya cenderung menyokong parti-parti tertentu tetapi usaha memelihara kesucian masjid dan surau dari pengaruh politik kepartian mestilah menjadi keutamaan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )