Program politik di masjid, surau: JAIPk buka kertas siasatan

Program politik di masjid, surau: JAIPk buka kertas siasatan

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuka kertas siasatan terhadap beberapa pihak termasuk pengerusi jawatankuasa masjid dan surau serta penganjur ceramah yang dipercayai mengadakan program tanpa kebenaran sepanjang Ramadan ini.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata siasatan selaras isu yang sedang diperkatakan iaitu penggunaan masjid dan surau dalam aktiviti membawa mesej politik kepartian yang melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebelum ini.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Pengawasan Pengajaran Agama dan Dakwah 2013 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 dan penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.

“JAIPk membuka siasatan termasuk terhadap pegawai masjid dan penceramah yang menyampaikan ceramah tanpa kebenaran pegawai tadbir agama daerah,” katanya, lapor BH Online.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan kertas siasatan yang dibuka serta lokasi masjid dan surau yang sedang disiasat itu, kerana tidak mahu menjejaskan siasatan berkenaan.

Mohd Yusop berkata, siasatan itu juga sebagai suatu bentuk peringatan kepada semua pihak terbabit agar mematuhi peraturan yang ditetapkan sudah sekian lama tetapi pihak berkaitan mengambil sikap tidak peduli terhadap undang-undang itu.

Pada masa sama, katanya, JAIPk juga menyiasat aduan mengenai pelanggaran arahan agar semua masjid dan surau mengadakan solat Tarawih 20 rakaat, tidak mengadakan program tazkirah di pertengahan solat itu serta tidak menjemput imam luar Perak mengimamkan solat sunat itu.

“Ini juga arahan yang sudah diberikan JAIPk sejak beberapa tahun lalu dan kami ada menerima aduan mengenainya secara tidak rasmi.

“Kami harap semua masjid dan surau mematuhinya walaupun mungkin ada yang mengatakan ramai jemaah meninggalkan masjid selepas lapan rakaat tetapi arahan mengatakan perlu buat 20 rakaat. Jadi perlu dipatuhi walaupun hanya tinggal satu saf sahaja,” katanya.

Mohd Yusop berkata, semua arahan berkenaan adalah titah Sultan Nazrin yang sebenarnya sudah lama dikeluarkan dan harus dipatuhi oleh semua kariah.

Katanya, walaupun tidak banyak pelanggaran arahan dikesan tetapi apabila isu berkenaan menjadi heboh, tindakan tegas dan peringatan harus diberikan kepada pihak terbabit.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )