Sultan Perak mahu masjid kembali ke matlamat asal, bebas daripada politik – Asmuni

Sultan Perak mahu masjid kembali ke matlamat asal, bebas daripada politik – Asmuni

IPOH: Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak, Asmuni Awi berkata Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah mahu institusi masjid di negeri ini kembali ke matlamat asal dan bebas daripada politik.

Menurutnya, Tuanku menegur semua parti politik supaya mematuhi arahan larangan mengadakan program berbentuk politik di masjid serta surau di negeri ini.

Katanya, teguran itu dibuat baginda dalam satu pertemuan bersama enam ketua parti-parti politik di Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam kira-kira jam 4.00 petang.

Pemimpin yang diminta menghadap Tuanku ialah Asmuni yang juga Pengerusi AMANAH Perak; Pengerusi Bersatu Perak, Dato Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi KeAdilan Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak; Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad; dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Asmuni berkata,, Baginda secara tegas bertitah agar masjid dan surau di negeri ini tidak disalahgunakan oleh parti-parti tertentu untuk tujuan politik dengan mengadakan program serta menggantung sepanduk tertera logo politik.

“Baginda mahu melihat fungsi masjid ini kembali kepada matlamat asal yang bebas daripada politik tetapi dalam masa sama tidak menyekat orang ramai untuk menggunakannya.

“Titah Sultan Nazrin semalam, jika terdapat pihak yang ingin mengadakan program iftar atau penyampaian sumbangan ia boleh dilakukan asalkan tiada sebarang kaitan dengan politiik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Shopping Raya bersama Anak Yatim DUN Manjoi di Mydin Manjoi, disini hari ini.

Asmuni menceritakan, ketika pertemuan itu, Sultan Nazrin juga mendapatkan pengakuan setiap ketua parti supaya akur terhadap peraturan tersebut dan tidak mengulanginya.

Sekiranya berlaku kembali perbuatan sedemikian, Tuanku katanya tegaskan pengerusi serta ahli jawatankuasa masjid terbabit boleh digantung tugas.

“Sekiranya siasatan dibuat mendapati berlaku perlanggaran peraturan yang serius, pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid atau surau berkenaan akan ditukar,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Asmuni berkata, sebelum ini beliau selaku Exco Agama telah pun memberikan teguran melalui Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) supaya aktiviti politik di masjid dihentikan kerana perbuatan itu menyalahi peraturan.

“Masjid mestilah bebas daripada politik sebab masjid ini kita nak jadikan sebagai pusat ilmu, melakukan ibadat dan penyatuan ummah, bukan perpecahan. Kita harus ingat yang datang ke masjid itu bukan semua daripada satu parti, ada parti yang berlainan dan tak berparti.

“Bila ada lambang parti ia menimbulkan rasa kegelisahan dan ketidakselesaan jadi sudahnya orang ramai daripada datang ke masjid terus tak datang. Matlamat untuk menyatukan umat itu tidak tercapai,” tegasnya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )