Junjung titah Sultan, gesa masjid dan surau bawa mesej perpaduan ummah dalam erti kata yang sebenar

Junjung titah Sultan, gesa masjid dan surau bawa mesej perpaduan ummah dalam erti kata yang sebenar

IPOH: Pemuda AMANAH Negeri Perak melahirkan sokongan sepenuhnya ke atas titah DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muhibbudin Shah berkaitan larangan penyalahgunaan masjid dan surau untuk aktiviti berunsur politik kepartian di negeri ini.

Naib Ketuanya, Ahmad Saqif Ansorullah berkata, ternyata tindakan segera dan berhemah baginda dalam menangani isu ini seharusnya menjadi iktibar kepada semua pihak agar perkara sama tidak berulang.

“Pemuda AMANAH Perak dari awal berpendirian bahawa, kedudukan masjid dan surau haruslah bersifat bebas politik kepuakan dan tidak berpihak kepada mana-mana ideologi politik bagi memastikan keharmonian sesama ahli masyarakat terus terpelihara.

“Bahkan, sifat meniupkan kebencian dan menjadi batu api di dalam masyarakat merupakan ajaran yang tidak selari dengan mesej Islam Rahmat kepada semua.

“Justeru, ia perlu di atasi dengan menjadikan masjid sebagai “center of ummah” yakni pusat kepada masyarakat dan pusat membina ukhuwwah sesama ahli masyarakat, sebagai mana Rasulullah saw membina Masjid Nabawi demi mengikis semangat assbiyyah yang tinggi diantara sesama masyarakat di Madinah ketika itu,” katanya.

Penyelaras Dun Selinsing itu menjelaskan, keseluruhan titah tersebut memperlihatkan ketegasan baginda dalam soal menjaga kesucian masjid dan surau.

Ini kerana kata beliau supaya ia tidak dicemari pengaruh politik dan kepuakan yang semakin menebal di kalangan masyarakat sekiranya tidak dibendung, yang akhirnya ia membawa kepada budaya negatif di kalangan masyarakat.

“Di samping itu, Pemuda AMANAH Perak juga menggesa agar Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan surau turut berperanan dalam memantau dan memastikan isi kandungan kuliah serta ceramah yang disampaikan di dalam masjid dan surau terhindar daripada unsur politik kepartian dan kebencian atas nama “perpaduan ummah”.

“Jika mahu berkongsi ilmu, kongsilah tenatng kebenaran Islam, masih ramai lagi yang dahagakan ilmu di luar sana.

“Ini berikutan terdapat juga aduan yang diterima mengatakan sesetengah penceramah termasuk yang mempunyai tauliah telah menggunakan kesempatan dalam ceramah serta kuliah mereka menyampaikan ucapan berbaur politik kepartian dengan berselindung atas nama “perpaduan ummah” seterusnya mengundang rasa kurang senang di kalangan ahli jemaah yang tidak sehaluan dengan ideologi politik tertentu,” jelasnya lagi.

Beliau menyatakan, sesungguhnya sikap dan disiplin dalam menyampaikan ilmu seharusnya menjadi perkara yang perlu diambil perhatian supaya masjid dan surau di negeri ini terus menjadi medan menyampaikan mesej kedamaian dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.

“Semoga dengan nasihat dan teguran baginda itu akan menjadikan masjid dan surau di negeri ini terus makmur serta memainkan peranannya sebagai pusat penyatuan ummah dalam erti kata yang sebenar,” katanya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )