‘Infaq wajib’ langgar Enakmen Pentadbiran Agama Islam, MAIPk digesa ambil tindakan tegas

‘Infaq wajib’ langgar Enakmen Pentadbiran Agama Islam, MAIPk digesa ambil tindakan tegas

IPOH: Tindakan mengutip dan menerima zakat fitrah atas nama ‘infaq wajib Ramadan’ jelas melanggar Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2012 Seksyen 75.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim berkata, sesyen tersebut menegaskan hanya Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) berkuasa memungut dan mengagih zakat dan fitrah yang kena dibayar oleh tiap-tiap orang Islam di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan dan mengagihkannya mengikut Hukum Syarak bagi pihak Duli Yang Maha Mulia Sultan.

Merujuk kepada laporan media berkaitan ‘infaq wajib Ramadan’, Khairol berkata beberapa negeri telah menyuarakan ketegasan supaya amalan tersebut segera dihentikan.

Antara negeri awal yang telah bersuara dan megeluarkan arahan tersebut adalah Perlis dan Pulau Pinang.

Berdasarkan maklumat yang diterima, Pemuda AMANAH Perak katanya mengesan bahawa amalan ini turut berlaku di negeri Perak.

“Kami juga telah menerima sekeping gambar yang memperlihatkan seorang pemuda bersalaman seperti membayar zakat fitrah dan tertera resit yang tertulis ‘infaq wajib’.

“Gambar tersebut juga dimuatnaik oleh seorang pengguna di laman sosial Facebook.

“Sumber yang memaklumkan perkara ini juga mengesahkan bahawa gambar tersebut diambil di sebuah premis di negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, Pemuda AMANAH mendapati perkara ini semakin berleluasa kerana dipercayai berlaku dan diamalkan oleh sebuah parti politik.

Oleh yang demikian, katanya siasatan dan tindakan lanjut perlu dilakukan bagi mengekang perkara ini dari terus berlanjutan terutamanya dalam tempoh masyarakat muslim sedang giat melunaskan tanggungjawab membayar zakat fitrah sebelum tiba 1 Syawal.

“Amalan ‘infaq wajib Ramadan’ bertentangan dengan ketetapan dibuat oleh MAIPk yang telah melantik amil yang sah untuk memungut zakat bagi pihak Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak seperti yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 pada Seksyen 76 (2) (c) dan MAIPK dilaporkan telah melantik seramai 1897 amil fitrah yang sah di seluruh negeri Perak.

“Justeru, Pemuda AMANAH Perak menggesa agar pihak MAIPk segera menyiasat dan mengambil tindakan akan perkara tersebut,” tegasnya.

Beliau mencadangkan agar pihak MAIPk dapat mengeluarkan arahan tegas terhadap perkara ini supaya masyarakat Islam di negeri ini dapat membuat bayaran zakat fitrah mereka kepada pihak yang diberi kuasa oleh pemerintah dan tidak sewenang-wenangnya diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan berselindung atas nama ‘infaq wajib Ramadan’.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )