Tiada kes baharu salahguna masjid atas tiket politik di Perak

Tiada kes baharu salahguna masjid atas tiket politik di Perak

IPOH: Setakat ini tiada lagi kes baru dilaporkan di Perak mengenai penyalahgunaan masjid dan surau untuk tujuan politik.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, semua pihak mematuhi titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai larangan tersebut.

Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) terhadap pihak yang membenarkan masjid atau surau digunakan atas tujuan politik.

“Siasatan sedang berjalan yang dikendalikan oleh JAIPk sendiri,” katanya, lapor Suara Perak.

Baru-baru ini, Astro AWANI melaporkan Sultan Nazrin menitahkan supaya JAIPk menyiasat tiga program di masjid dan surau di negeri ini, yang dianjurkan atas nama parti politik, serta penyampaian ceramah agama oleh penceramah yang tidak bertauliah.

Program itu ialah di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei, Surau Al-Ittihad Kampung Temiang di sini pada 24 Mei dan di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor, pada 22 Mei.

Sementara menunggu siasatan selesai, semua Ahli Jawatankuasa masjid dan surau yang berkenaan digantung sementara.

JAIPk turut menggantung jawatan seorang penolong setiausaha sebuah masjid di Hilir Perak sementara menjalankan siasatan dakwaan seorang Ahli Parlimen menyalahgunakan masjid untuk tujuan politik.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya menerima laporan pada 17 Mei lalu, Ahli Parlimen itu telah mengadakan program berbuka puasa, menyampaikan sumbangan dan berucap di kawasan Masjid Asaadah Kampung Bahagia, Hilir Perak.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )