Perak tumpu imbangi Indeks Kebahagiaan Rakyat

Perak tumpu imbangi Indeks Kebahagiaan Rakyat

IPOH: Tidak hanya memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini sebaliknya Kerajaan Perak juga tertumpu untuk mengimbangi Indeks Kebahagiaan dalam kalangan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata menerusi pembangunan sektor ekonomi baharu menerusi kemasukan lima syarikat peneraju perkhidmatan perniagaan global atau (Global Business Services – GBS) ia dapat menjana lebih banyak aktiviti ekonomi di negeri ini.

Katanya inisiatif tersebut juga dapat mengurangkan aliran keluar modal insan Perak ke negeri lain selain dapat menarik minat mereka untuk terus berkhidmat di negeri sendiri.

“Usahasama ini juga dijangka akan memberi peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk graduan tempatan dan Perak amnya selain ia dapat membantu menyelesaikan isu pengangguran di Perak.

“Statistik menunjukkan 23 peratus daripada sejumlah lebih 20,000 graduan di Perak masih menganggur,” katanya, lapor Perak Today.

Beliau berkata, minggu lalu sebanyak lima syarikat GBS telah bersetuju untuk membuat pelaburan sebanyak RM486 juta bermula suku ketiga tahun ini dan ia dijangka dapat mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Menteri Besar Perak dan barisan Exco bermesra dengan rakyat,

“Matlamat untuk mempelbagaikan sumber kekayaan negeri dan menarik pelaburan tidak akan tercapai jika tiadanya kestabilan politik.

“Patik bagi pihak seluruh rakyat menyanjung tinggi titah ucapan Tuanku yang menekankan peri pentingnya institusi masjid dan surau dipelihara dengan sebaiknya.

“Patik dan seluruh rakyat menyedari titah Tuanku itu adalah untuk mengelakkan perpecahan dikalangan rakyat, yang akhirnya akan mengundang ketidakstabilan politik. Perkara ini akan merugikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri Perak di perkarangan Stadium Indera Mulia di sini, kelmarin.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nadzatul Shima Sultan Idris Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnaian Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, barisan Exco kerajaan negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli-ahli Parlimen.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )