Lebih 550 mahasiswa Perak hadir Majlis Ramah Mesra Aidilfitri

Lebih 550 mahasiswa Perak hadir Majlis Ramah Mesra Aidilfitri

IPOH: Kerajaan Negeri Perak melalui Yayasan Perak berjaya menghimpunkan lebih 550 orang mahasiswa anak Perak di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama kepimpinan Kerajaan Negeri.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak, Asmuni Awi berkata, selain berkenal-kenalan, beramah mesra di antara satu sama lain dan menjamu selera, program ini juga menjadi platform untuk Kerajaan Negeri menyalurkan penerangan tentang perkembangan pentadbiran Kerajaan Negeri khususnya untuk golongan mahasiswa.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk menerima input dan maklumbalas daripada golongan mahasiswa tentang kemajuan, perkembangan dan penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara dan saudari yang dapat hadir ke Majlis yang dirancang ini.

“Kerajaan Negeri akan cuba mengatur pertemuan sebegini lagi bersama dengan golongan mahasiswa dari masa ke semasa.

“Tahniah kepada semua pihak yang terlibat terutama Yayasan Perak serta semua yang terlibat di atas komitmen yang diberikan sehingga dapat menjayakan program ini dengan sempurna dan jayanya.

“Saya berharap agar semangat toleransi saling hormat menghormati sentiasa disuburkan di kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

Hadir sama ke majlis tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain dan Pengerusi Sekretariat Mahasiswa Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob.

Dalam majlis ini juga, Yayasan Perak telah melancarkan Sekretariat Mahasiswa Perak yang diketuai oleh Pensyarah Universiti Teknologi Perak (UTP), YM Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob.

Sekretariat Mahasiswa Perak telah dilancarkan secara rasmi pada majlis tersebut.
Pengerusi Yayasan Perak, Asmuni Awi menyampaikan sumbangan Dermasiswa Harapan kepada salah seorang penerima.
Asmuni bermesra bersama mahasiswa yang hadir.
Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain menyantuni mahasiswa anak Perak dan mendengar idea dan pandangan daripada mereka.
Para penerima bantuan Dermasiswa Harapan daripada Yayasan Perak.
Riak wajah Asmuni yang gembira meraikan para mahasiswa pada majlis yang cukup bermakna itu.

Sekretariat ini kata beliau berfungsi untuk menghimpunkan mahasiswa anak Perak di seluruh negara dan luar negara.

Jelas, pelbagai program dan strategi bakal dirangka dalam usaha melipatgandakan peranan mahasiswa untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat dan negeri.

Statistik tahun 2018 menunjukkan terdapat seramai 51,036 orang mahasiswa anak Perak berada di pusat-pusat pengajian tinggi seluruh negara.

Seramai 36,528 orang sedang menuntut di Universiti Awam manakala selebihnya 20,508 sedang menuntut di universiti swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG) termasuk Politeknik dan lain-lain.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )