Mahasiswa harus menjadi segmen penting dalam masyarakat, tegas Hasnul

Mahasiswa harus menjadi segmen penting dalam masyarakat, tegas Hasnul

IPOH: Kerajaan Negeri Perak sangat mengalu-alukan golongan mahasiswa untuk bersama menyumbang idea dan tenaga bagi memajukan negara khususnya di negeri Perak ini.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, selepas 9 Mei 2018, negara ini sebenarnya sudah beralih untuk membuka ruang kepada generasi baru untuk terlibat sama dalam proses membina dasar dan polisi yang bersifat inklusif.

Menurutnya, mahasiswa akan terus menjadi segmen penting dalam masyarakat tetapi ia bergantung kepada sejauh mana mahasiswa itu sendiri membawa nilai kemahasiswaannya ke hadapan.

“Dalam konteks negara kita di era Malaysia Baru, negara sangat memerlukan pemimpin muda yang berkualiti.

“Namun mencari yang berkualiti ini agak mencabar kerana sebahagian besar mahasiswa hanya menumpukan zaman mahasiswanya untuk menghabiskan pengajian semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Mahasiswa Perak di Hotel Tower Regency, Ipoh disini hari ini.

Hasnul bertanya khabar dan berkenal-kenalan dengan mahasiswa yang hadir ke majlis tersebut

Adun Titi Serong itu menjelaskan, mahasiswa mesti berperanan untuk membawa diskusi-diskusi intelektual dan bersifat kritis bagi membentuk minda masyarakat yang boleh membuat keputusan yang betul.

Mereka katanya juga perlu mendedahkan diri dengan dunia luar untuk memahami dan cuba menyampaikan pandangan dalam isu-isu besar yang melibatkan kepentingan negara.

Hasnul bergambar dengan mahasiswa yang hadir daripada pelbagai IPTA dan IPTS

“Semoga kerjasama erat antara mahasiswa dan kerajaan akan terus terjalin bagi mengisi kemenangan dan membawa perubahan kea rah Malaysia yang lebih baik dan mampan dengan cabaran semasa,” jelasnya.

Hasnul berkata, selepas ini beliau mewakili Kerajaan Negeri Perak akan menjelajah ke setiap IPT untuk mengadakan program dialog bersama mahasiswa anak Perak dalam usaha mendapat input, idea, pandangan serta kritikan daripada mereka ke arah kesejahteraan rakyat dan negeri ini.

Dalam majlis tersebut, lebih 550 orang mahasiswa anak Perak telah hadir daripada pelbagai universiti tempatan dan luar negara.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )