Penukaran kereta Exco lima tahun sekali adalah proses biasa

Penukaran kereta Exco lima tahun sekali adalah proses biasa

IPOH: Penukaran kereta Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) memang dilakukan setiap lima tahun sekali sejajar dengan dasar kerajaan.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak, Asmuni Awi berkata, penukaran setiap lima tahun itu mengambil kira pelbagai aspek termasuklah kerosakan dan penyeleggaraan yang tinggi.

Kata beliau, perkara tersebut sememangnya relevan melihat kepada keadaan kereta Exco ketika ini yang berlaku pelbagai kerosakan menyebabkan risiko mengundang.

“Ia bukan isunya kerana pertukaran kereta memang dilakukan setiap lima tahun sejajar dengan dasar kerajaan negeri sedia ada dan kereta yang digunakan Exco sudah melebihi lima tahun malah ada yang enjin kenderaan dinaiki secara tiba-tiba mati di tengah jalan dan lebih teruk ada yang wayar terbakar.

“Exco berhadapan tugas-tugas besar dan perlu sentiasa tiba di lokasi atau menghadiri program-program dengan cepat tetapi terpaksa menghadapi halangan apabila terjadi masalah kereta rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Mahasiswa Perak anjuran Yayasan Perak dengan kerjasama Sekretariat Mahasiswa Perak di sini hari ini.

Asmuni bermesra bersama mahasiswa pada majlis tersebut.
Asmuni bergambar bersama penerima bantuan Dermasiswa Yayasan Perak.

Asmuni menjelaskan, pembelian 16 kereta Toyota Camry oleh kerajaan negeri Perak dengan harga keseluruhan kira-kira RM1.74 juta dibuat berdasarkan jangkaan kos penyelenggaraan yang lebih rendah selain memberi keselamatan lebih baik kepada Exco.

Adun Manjoi itu berkata kereta lama iaitu Proton Perdana untuk Exco yang dibeli kerajaan negeri sebelum ini di bawah pentadbiran BN pada 2014 tidak lagi di bawah jaminan dan sering dihantar untuk dibaiki dengan kos penyelenggaraan mahal.

“Bukan cerewet tetapi sistem sangat teruk sehingga kami menghadapi situasi tidak selesa. Kereta yang dibeli ini lebih rendah harganya berbanding kereta jenis Mercedes Benz yang dibeli oleh kerajaan yang diterajui oleh pembangkang,” katanya.

Media tempatan melaporkan kerajaan negeri telah membelanjakan RM109,000 bagi setiap model Toyota Camry iaitu kira-kira RM90,000 lebih murah daripada harga runcit biasa.

Difahamkan, kerajaan telah membeli kenderaan itu secara langsung daripada Toyota dan perolehan berkenaan mendapat pengecualian cukai dan diskaun.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )