Lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan kepada anak Perak

Lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan kepada anak Perak

IPOH: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Perak pada hari ini bukan sahaja memfokuskan kepada bantuan pendidikan semata-mata malah menyediakan peluang-peluang pekerjaan melalui pelaburan-pelaburan strategik.

Exco Kerajaan Negeri Perak, Asmuni Awi berkata, sebagai contoh baru-baru ini, Kerajaan Negeri berjaya menarik pelaburan berjumlah RM486 juta dan 1,500 peluang pekerjaan kepada rakyat Negeri Perak termasuk pekerjaan berpendapatan tinggi.

Menurutnya, inisiatif printis yang dikenali sebagai GBS@Ipoh atau Global Business Services ini akan dipacu oleh Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebagai ‘catalyst’ atau pemangkin kepada ekonomi Kerajaan Negeri.

“Persetujuan oleh lima syarikat peneraju perkhidmatan global untuk melebarkan operasinya di ipoh bermula tahun ini memfokuskan beberapa sektor seperti kewangan, sumber manusia, proses automasi robotik, perancangan sumber perniagaan dan teknologi maklumat termasuk analistik data besar (Big Data Analytics), pembangunan perisian dan ‘cloud computing’ yang berteraskan kepada Revolusi Industri ke-4 (IR 4.0),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Mahasiswa Perak di Ipoh, Sabtu lalu.

Asmuni menjelaskan, lima syarikat yang menzahirkan komitmen untuk mengambil bahagian di bawah inisiatif perintis ini iaitu
DigitalQ Solution Sdn. Bhd., Puncak Tegap Sdn. Bhd., Revoluteq Sdn. Bhd., TecCSA Sdn. Bhd. dan Volgo Sdn. Bhd.

Jelasnya, kalangan anak Perak berkemahiran tinggi yang selama ini terpaksa merantau bagi memperolehi pendapatan sepadan dengan pengetahuan dan kemahiran mereka, sudah boleh membuat perancangan untuk kembali menabur bakti di negeri sendiri tidak lama lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )