MB Inc nafi dakwaan jalankan perlombongan tanpa kawalan

MB Inc nafi dakwaan jalankan perlombongan tanpa kawalan

IPOH: Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) menafikan dakwaan yang mengatakan segala operasi dan aktiviti perlombongan bahan mineral dan pasir dijalankan secara tidak terkawal di negeri ini.

Dalam satu kenyataan MB Inc berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu sentiasa mematuhi peraturan berkaitan ketika menjalankan sebarang operasi aktiviti tersebut.

Malah katanya MB Inc turut menerbitkan Pelan Tindakan Perlombongan yang mana ia menjadi rujukan dan panduan bagi segala aktiviti dan pembangunan berkaitan perlombongan di Perak dan negara ini secara amnya.

Selain itu katanya GLC tersebut sentiasa memastikan segala aktiviti itu dapat dijalankan tanpa memberi sebarang kesan buruk sama ada kepada alam sekitar mahupun nelayan atau petani setempat.

“Kami sentiasa merujuk Jabatan Pengairan dan Saliran negeri bersama-sama Jabatan Perikanan Malaysia.

“Hal itu dilakukan sebelum sebarang aktiviti perlombongan bermula, bagi memastikan semua risiko yang dilihat dapat memberi kesan kepada kehidupan nelayan dan petani yang berada di sepanjang tebing sungai dapat dikurangkan dan diurus dengan baik,” katanya seperti dilaporkan Perak Today.

Selain itu katanya semua aliran sungai yang terletak di lembah sungai utama termasuk di Sungai Perak perlu dikekalkan bagi memastikan sistem hidrologi dan morfologi sentiasa berada pada tahap optimum.

“Sebagai contoh, pengekstrakan pasir perlu dilakukan di Sungai Kerian, Sungai Bidor, Sungai Kinta dan Sungai Pelus untuk mengelakkan banjir, yang disebabkan oleh tebing sungai yang cetek.

“Aktiviti pengekstrakan pasir di sungai-sungai ini dapat membantu mengawal bencana banjir yang dapat menimbulkan kerosakan yang lebih besar terhadap tanaman pertanian di sepanjang tebing sungai,” katanya.

Jelasnya aktiviti perlombongan di sungai-sungai terbabit juga dapat membantu memudahkan operasi di Loji Rawatan Air Lembaga Air Perak berjalan tanpa gangguan.

“Operasi keselamatan MB Inc yang ketat juga membantu menjaga dan mengekalkan aktiviti ekonomi setempat termasuk mengekalkan pembiakan ikan air tawar, udang kara dan hidupan air tawar lain yang ada di sungai tersebut,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )