Langkah kerajaan panjang tempoh Skim Harga Maksimum berjaya kawal harga barangan

Langkah kerajaan panjang tempoh Skim Harga Maksimum berjaya kawal harga barangan

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menambah enam lagi barangan serta memanjangkan tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan daripada 15 hari kepada 30 hari berjaya mengawal kenaikan harga barangan keperluan secara mendadak di pasaran selepas Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan Bernama di pasar-pasar awam dan pasar raya di beberapa buah negeri mendapati kebanyakan pengguna berpuas hati dengan harga barangan basah dan menyifatkan senario itu lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Menurut pengguna harga beberapa barangan basah seperti ayam standard, ikan, dan sayur-sayuran tidak terlalu membebankan walaupun ada sedikit peningkatan terutama cili merah.

Di Johor Bahru, tinjauan mendapati harga ayam standard masih dijual pada harga RM7.50 sekilogram sama seperti ditetapkan kerajaan manakala ikan selar dijual antara RM8 dan RM9 sekilogram bergantung kepada saiz.

Peniaga ayam, Samsul Jalil, 45, berkata harga siling ditetapkan kerajaan pada tahun ini amat berpatutan dan memuaskan hati kedua pihak sama ada peniaga dan pembeli.

“Alhamdulillah, harga kawalan RM7.50 sekilo yang ditetapkan kerajaan pada tahun ini tidak melampau seperti tahun-tahun sebelumnya dan tiada rungutan berkenaan kenaikan harga barangan yang kita terima daripada pelanggan,” katanya.

Kerajaan pada bulan lepas, mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa dilanjutkan pelaksanaannya selama 30 hari bermula 21 Mei berbanding 15 hari, tahun lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata SHMMP kali ini membabitkan kawalan harga bagi 27 jenis barangan berbanding 21 barangan sebelum ini.

Enam barangan yang ditambah pada skim itu berbanding pelaksanaan pada 2018 ialah ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering.

Rasa puas hati dengan langkah diambil kerajaan mengawal harga barangan turut dikongsi oleh penggguna di Butterworth, apabila rata-rata yang ditemui melahirkan rasa syukur dengan tindakan yang diambil untuk mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan haga barangan selepas musim perayaan.

“Setiap kali musim perayaan sebelum ini, sudah pastinya akan timbul masalah harga barang akan naik tapi tahun ini keadaannya nampak tidak begitu ketara sangat. Namun sebagai pembeli kena terus membuat perbandingan,” kata seorang suri rumah, Rahmah Hussain, 63.

Sementara itu di Kuching, tinjauan di Medan Niaga Satok di bandar raya mendapati hanya cili merah dan limau mengalami kenaikan harga akibat kekurangan bekalan, manakala harga barang basah seperti ikan, ayam dan daging masih kekal seperti biasa, malah ada yang lebih rendah berbanding harga di Semenanjung.

Bagi peniaga ayam, Faridah Morshidi, 43, berkata selepas musim perayaan bekalan ayam agak berkurang namun harga tetap kekal seperti biasa iaitu RM9.20 sekilogram.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, beberapa barangan keperluan yang dijual di Pasar Payang, Pasar Batu Enam dan Pasaraya Besar Mydin dilaporkan mengalami penurunan termasuk harga ayam yang turun daripada RM8.50 pada bulan Ramadan kepada RM6.50 pada hari ini.

Bagimanapun berbeza di Melaka, rata-rata pengguna dan peniaga khususnya peruncit dan peniaga restoran yang ditemui meminta agar pihak berkuasa memperketatkan lagi pemantauan harga terhadap bahan mentah yang dikatakan meningkat selepas sambutan Aidilfitri.

Seorang suri rumah, Siti Masturah Abdul Wahab, 42 berkata harga barang basah seperti ikan, cili merah, sayur-sayuran mula meningkat sejak akhir Ramadan, namun terkawal dan berharap perkara itu diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

Bagi Ibrahim Awaluddin, 73, harga barang basah yang tinggi di Pasar Borong Majlis Bandaraya Bersejarah (MBMB), Batu Berendam menyebabkan beliau hanya mengambil sedikit bekalan ikan dan sayur-sayuran untuk dijual di kedai runcitnya.

“Saya hanya membeli sekilo cili merah dengan harga RM23 sebab harga terlampau tinggi, macam mana saya nak jual pada orang kampung nanti… tak akan saya nak jual dengan harga RM1 sebatang untuk orang kampung,” katanya.

Di Seremban, harga barang keperluan terkawal dan bekalannya mencukupi dan rata-rata pengguna yang ditemui Bernama berkata mereka gembira dengan harga barangan keperluan yang stabil berbanding musim perayaan sebelum ini dan masih mampu berbelanja pada harga berpatutan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan Ain Arjuna Aziz Zaman berkata setakat ini pihaknya tidak mendapat sebarang laporan mengenai kenaikan harga barangan di pasaran.

“Bekalan barangan di Negeri Sembilan mudah didapati dan tidak berlaku kekurangan stok.Harga semasa musim perayaan ini juga dijual bawah daripada paras harga maksimum yang digazetkan. Tidak terdapat sebarang penjualan lebih dari harga maksimum yang diwartakan.

“Sehingga kini tidak terdapat sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan barangan semasa musim perayaan dan kenaikan harga barangan,” katanya.

Di Alor Setar, tinjauan Bernama di Pasar Besar Besar Alor Setar di sini mendapati beberapa harga barangan mentah masih dijual di bawah harga siling walaupun sambutan Aidilfitri telah seminggu berlalu.

Peniaga ayam, Mohd Zahir Zainal Abdin, 60, berkata walaupun harga siling ayam ditetapkan pada RM7.50 sekilogram, beliau tetap menjual pada RM6.30 untuk tidak mahu membebankan pengguna serta akur pada arahan kerajaan.

“Bulan puasa (Ramadan) hinggalah Hari Raya jualan ayam di sini pun di bawah harga siling iaitu sekitar RM5.80 hingga paling tinggi pun RM6.60 pada bulan Ramadan. Buat apa jual mahal kalau kita dapat dari pembekal pada harga murah

“Kalau kita tengok orang ramai pun dah tak merungut bila mai (datang) beli, malah mereka beli pada jumlah yang banyak berbanding sebelum ini dan ini memberi persekitaran perniagaan yang baik,” katanya ketika ditemui.

Selain itu, peningkatan pengeluaran ayam oleh pengusaha ladang, katanya, turut membantu peniaga mendapatkan bekalan pada harga yang murah seterusnya dapat menjual pada harga berpatutan kepada pengguna tanpa rasa rugi.

Seorang pengguna, Zainab Isa, 46 berkata keadaan berbeza dari bulan-bulan sebelum ini di mana banyak harga barangan dilihat mula turun sekaligus menjimatkan perbelanjaan dapur.

“Saya perasan harga ikan, sayur-sayuran, telur dah turun dan tidak ada kenaikan mendadak barangan keperluan lain,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )