Sekretariat Mahasiswa Perak ruang terbaik mahasiswa untuk berbakti – Asmuni

Sekretariat Mahasiswa Perak ruang terbaik mahasiswa untuk berbakti – Asmuni

IPOH: Sekretariat Mahasiswa Perak (SMP) yang dilancarkan baru-baru ini adalah berfungsi sebagai wadah penghubung kepada mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT) dengan kerajaan negeri.

Pengerusi Yayasan Perak, Asmuni Awi berkata, semua mahasiswa anak Perak di semua IPT sama ada dalam dan luar negara secara automatik menjadi ahli kepada sekretariat tersebut.

Kata beliau, SMP akan menjadi satu organisasi yang inklusif, ia akan disertai oleh semua mahasiswa sama ada di IPT awam dan swasta, politeknik, Institut Pendidikan Guru (IPG), kolej komuniti, kolej matrikulasi, Istitut Latihan Perindustrian (ILP), dan Istitut Pengajian Mara (IPM) sama ada dalam dan luar negara.

“Semua Presiden Persatuan Mahasiswa Anak Perak di IPT akan dilantik sebagai Ahli Majlis Sekretariat Mahasiswa Perak.

“Saya akan membuat pelantikan ini dalam masa terdekat dan saya berharap pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) di setiap IPT yang ada di negara ini khususnya akan memberi kerjasama untuk menamakan Ahli Majlis SMP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kunjungan Hormat bersama Sekretariat Mahasiswa Perak di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, disini hari ini.

Kunjungan itu telah diketuai oleh Pengerusinya, YM Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob.

Mengulas lanjut, Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak itu menjelaskan, beberapa program kerjasama antara SMP dengan Yayasan Perak akan diadakan tidak lama lagi.

Ini katanya termasuklah program Selangkah ke IPT, Mahasiswa Turun Ke Desa, Seminar Keusahawanan Mahasiswa dan beberapa lagi aktiviti bagi meningkatkan peranan mahasiswa dalam segenap aspek.

“Kita akan laksanakan pelbagai aktiviti dan kita juga akan mengadakan jelajah ke setiap kampus khususnya kampus yang ada di negeri ini,” jelasnya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )