Kerajaan negeri tegaskan tidak pernah jual tanah Lapangan Terbang Taiping

Kerajaan negeri tegaskan tidak pernah jual tanah Lapangan Terbang Taiping

IPOH: Kerajaan Negeri Perak tidak pernah meluluskan pemberian tanah Lapangan Terbang Taiping di Tekah atau dikenali sebagai Aerodrome kepada mana-mana pihak, demikian tegas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata sebahagian tanah di kawasan itu yang pernah diserahkan oleh pentadbiran terdahulu kepada Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) untuk pembangunan telah dikembalikan kepada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan.

“Hari ini saya sahkan, kerajaan negeri tidak pernah luluskan (pemberian tanah) kepada mana-mana pihak, sebaliknya tanah itu telah diserah balik kepada kerajaan negeri.

“Malah, dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pagi tadi, kita cadangkan agar Pejabat Tanah dan Galian segera gazetkan kawasan tersebut sebagai tapak warisan negeri Perak,” katanya.

Ahmad Faizal bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan peruntukan kepada sekolah separuh bantuan kerajaan Perak di sini hari ini.

MB Inc pada 1 Mei lalu menafikan laporan sebuah portal bahawa kerajaan negeri akan menyerahkan tapak bersejarah Lapangan Terbang Taiping kepada pemaju swasta untuk pembangunan bercampur.

Menurut kenyataan MB Inc, pentadbiran terdahulu meluluskan tanah seluas 10 hektar di Lapangan Terbang Taiping di Tekah kepada pihak pengurusan MB Inc sebelum ini bagi tujuan pembangunan dengan kerjasama pemaju swasta.

Mengenai tindakan kira-kira 200 orang mengadakan bantahan di lapangan terbang itu Jumaat lepas, Ahmad Faizal menyifatkan ia sebagai usaha ‘sayangkan negeri’.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua yang terlibat agar dapat turun ke lapangan terbang itu untuk sama-sama membersihkan kawasan sekitar.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri bercadang untuk mengazetkan keseluruhan Taman Tasik Taiping merangkumi Bukit Larut sebagai Taman Tasik Diraja seterusnya mengelak sebarang cadangan pembangunan yang akan merosakkan alam sekitar.

Katanya cadangan tersebut akan disembah maklum kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk mendapat perkenan baginda.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )