RM250 juta diperuntuk untuk kerja naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah

RM250 juta diperuntuk untuk kerja naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah

IPOH: Sejumlah RM250 juta akan diperuntukkan melibatkan lima aspek bagi kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata lima aspek itu ialah memanjangkan landasan lapangan terbang itu dari dua kilometer (km) kepada 2.4 km selain menaik taraf terminal, membina menara kawalan dan bahan api, kemudahan kargo serta menjadikan lapangan terbang itu dalam bandar.

“Terminal LTSAS akan dimodenkan dengan pembinaan jejantas dan pengasingan balai berlepas untuk penumpang yang mahu berlepas dan mendarat serta lebih banyak kedai jualan akan dibina di situ.

Kita juga berhasrat menjadikan lapangan terbang dalam bandar yang bermatlamat para pelancong akan tiba di hotel di sekitar bandar raya Ipoh tidak sampai sepuluh minit sahaja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohammad Nizar berkata kerja-kerja menaik taraf itu akan dimulakan pada suku pertama tahun depan dan dijangka mengambil masa selama dua tahun setengah untuk disiapkan sepenuhnya.

Beliau berkata kerja-kerja menaik taraf itu tidak akan menjejaskan operasi penerbangan harian di LTSAS.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )