Kerajaan negeri perkenal projek Perak Agrovalley, beri peluang kepada rakyat

Kerajaan negeri perkenal projek Perak Agrovalley, beri peluang kepada rakyat

IPOH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) akan memperkenalkan projek ‘Perak Agrovalley’ yang menyasarkan nilai pelaburan sebanyak RM1 bilion.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata projek itu yang akan diperkenalkan dengan ciri-ciri pembangunan integrasi membabitkan pelaburan teknologi pertanian moden dan agensi kerajaan serta swasta.

Katanya projek itu yang dirangka oleh PPPNP dengan kerjasama Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Pertubuhan Peladang Kawasan serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan dibangunkan di atas tanah seluas 1,983 hektar.

“Projek pertanian ini berkonsepkan pertanian integrasi yang melibatkan tanaman kontan, tanaman sayuran, dusun buah-buahan dan pelbagai ternakan berdasarkan kesesuaian topografi kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah PPPNP di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata PPPNP juga telah melaksanakan dan merangka beberapa projek ladang integrasi bersama rakyat di ladang milik perbadanan berkenaan.

“Salah satunya adalah projek ladang integrasi di Ladang Gelong Gajah, Beruas meliputi integrasi antara kelapa sawit dan penternakan yang melibatkan enam orang penternak lembu dengan jumlah ternakan sebanyak 200 ekor lembu.

Dalam masa terdekat juga, PPPNP akan menjalankan integrasi antara kelapa sawit dan tanaman kontan antaranya tanaman nanas di Ladang Sungai Selinsing di Tapah serta tanaman kelapa sawit dan nanas di Lekir di Daerah Manjung,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )