Hukum wajib jatuhkan kerajaan PH: Itulah wajah sebenar Pas, kata Hasnul

Hukum wajib jatuhkan kerajaan PH: Itulah wajah sebenar Pas, kata Hasnul

IPOH: Pemuda AMANAH Perak berpandangan bahawa kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dalam ucapan pada Muktamar Pas Tahun Ke-65 adalah sebagai tidak wajar.

Memetik satu laporan media semalam, Zawawi menyifatkan tindakan menjatuhkan kerajaan sedia ada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) adalah perkara yang wajib dilakukan.

Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata kerajaan masa kini sentiasa berusaha melakukan kebajikan kepada rakyat sebagaimana ia selaras dengan tuntutan Islam.

Malah ujarnya, kenyataan Zawawi itu jelas menunjukkan wajah sebenar Pas yang sentiasa mengeluarkan ‘fatwa’ baharu tatkala tiba acara Muktamar Pas.

“Itulah wajah sebenar Pas yang mana setiap kali menganjurkan Muktamar, mereka akan ada ‘fatwa’ baharu. Malah kini menyebut hukum menjatuhkan kerajaan sedia ada adalah wajib.

“Sedangkan saya kira banyak kebaikan dan pembenterasan jenayah yang dilakukan kerajaan. Adakah mereka tidak melihat ia satu kewajipan yang dituntut Islam?

“Dalam masa sama, kita ada melaksanakan program-program kebajikan dan bantuan rakyat seperti di peringkat negeri, Kad Perak Prihatin.

“Dan juga bajet tahunan tambahan kepada Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama. Tidakkah itu langkah menjaga Islam dan rakyat?”, katanya, lapor Perak Today.

Hasnul yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata tindakan sedemikian haruslah dihentikan selain menyeru para pimpinan Pas untuk berpijak kepada realiti politik masa kini dan tidak bermain dengan sentimen agama.

Selain itu beliau berkata rakyat kini sudah berasa selesa dengan pentadbiran kerajaan oleh PH.

“Ada maklum balas yang baik daripada rakyat. Seperti menjelang sambutan Hari Raya baru-baru ini, kita tidak mendengar keluhan kenaikan harga barang malah, majlis-majlis rumah terbuka masih diteruskan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Perkarangan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut tentang program Hasnul berharap agar selain meraikan kesemua kakitangan di agensi kerajaan di bawah Portfolio Penerangan, beliau berharap penganjuran program sampingan bagi meraikan golongan yang kurang bernasib baik, dapat diteruskan pada masa hadapan.

Antara agensi yang terlibat dalam program tersebut ialah Jabatan Penerangan, RTM Perak, Bahagian Komunikasi Korporat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Bernama.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )