Kesedaran persatuan penduduk di Perak tentang geran komuniti sangat rendah

Kesedaran persatuan penduduk di Perak tentang geran komuniti sangat rendah

IPOH: Kesedaran persatuan penduduk di Perak mengenai Geran Komuniti (GKOM) masih rendah, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.

Ini kerana, katanya daripada 286 persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), kurang daripada 50 yang membuat permohonan mendapatkan GKOM.

Katanya untuk tahun ini, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1 juta untuk negeri Perak dan setiap persatuan yang layak mendapat GKOM menerima RM10,000.

“Sudah masuk suku tahun ketiga tahun 2019 kurang 50 persatuan memohon GKOM dan daripada jumlah itu ada lagi permohonan masih di peringkat tapisan kerana tidak dokumen tidak lengkap,” katanya kepada pemberita selepas majlis mesra JPPM Perak dan penyampaian GKOM di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini, lapor bernama.

GKOM merupakan dana khas daripada kerajaan untuk membolehkan persatuan yang berdaftar dengan JPPM membeli peralatan keselamatan dan membiayai program seperti pencegahan jenayah serta aktiviti kebersihan.

Pada majlis itu, Hasnul Zulkarnain turut menyampaikan GKOM kepada tiga persatuan penduduk di sekitar Perak berjumlah RM10,000 setiap satu.

Mengulas lanjut, beliau mengharapkan geran yang diberikan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh persatuan yang layak.

“Kalau bertujuan menjaga keselamatan maka lakukan berbincang dengan keseluruhan penduduk atau untuk aktiviti masyarakat gunakan sebaiknya dan saya galakkan agar persatuan ibatkan sekali agensi kerajaan berkaitan,” katanya.

Tambah Hasnul Zulkarnain, persatuan penduduk yang sudah menerima geran sebelum ini juga boleh membuat permohonan sekali lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )