Polis Ipoh lumpuhkan kumpulan samun ‘Geng Ben Tuck’

Polis Ipoh lumpuhkan kumpulan samun ‘Geng Ben Tuck’

IPOH: Polis melumpuhkan kumpulan samun bersenjata dikenali sebagai ‘Geng Ben Tuck’ dengan penahanan dua lelaki tempatan di sebuah kondominium di Pasir Puteh di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata kedua-dua lelaki berusia 39 dan 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.35 petang di premis tersebut yang merupakan kediaman salah seorang suspek. 

Katanya kedua-dua suspek ditahan hasil risikan susulan kejadian samun bersenjatakan pisau dan pistol di sebuah rumah di Taman Pengkalan Putri, Pasir Puteh pada 3 Jun lepas dengan anggaran kerugian bernilai RM450,000 termasuk wang tunai RM61,000.

“Bagaimanapun, wang tunai yang didakwa mangsa dicuri tidak ditemukan kerana suspek memberitahu mereka gagal membuka peti besi lalu membuangnya dan usaha mencari peti itu di lokasi gagal.

“Mangsa juga mendakwa suspek menyamun barangan kemas bernilai RM70,000, 10 botol arak bernilai RM10,000, dua telefon bimbit serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV),” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Menurut Mohd Ali, semasa serbuan pihaknya turut merampas sebuah kelopak mengandungi 14 butir peluru, dua MPV, enam telefon bimbit termasuk milik mangsa, 10 botol arak dan sebuah motosikal Yamaha Ego dipercayai diguna semasa menyamun, 

“Kita juga merampas sepucuk pistol jenama Steyr Mannlicher yang dikatakan dibeli beberapa minggu lalu di sebuah negara jiran dengan harga RM7,000 sebelum mereka melakukan kegiatan samun itu,” katanya. 

Mohd Ali berkata suspek berusia 45 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang mempunyai lima rekod jenayah lampau melibatkan satu kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dua kes judi dan dua kes berkaitan dadah.

Sementara itu, suspek kedua yang bekerja sebagai peniaga mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan dan ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphethamine, katanya.

Mohd Ali berkata kedua-dua suspek direman enam hari sehingga Jumaat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan kumpulan bersenjata.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )