Pas kata pembangkang tiada keperluan isytihar harta

Pas kata pembangkang tiada keperluan isytihar harta

KUALA LUMPUR: Pas menganggap tiada keperluan bagi ahli parlimen pembangkang untuk mengisytiharkan harta.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man memberi alasan mereka tiada akses kepada projek-projek melibatkan kerajaan.

Tegasnya, partinya tidak akan menyokong usul tersebut kerana merasakan ia perlu diteliti terdahulu sebelum dibentang.

“Apa asas pengisytiharan harta? Negara kita dah ada undang-undang dan ada akta-akta cukup yang sedia ada. Hasil-hasil (pendapatan) masih kita lapor kepada LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) setiap tahun.

“Saya fikir tak ada keperluan. Pembangkang tak ada akses kepada projek-projek kerajaan. Apa keperluan isytihar? Kalau pihak kerajaan betul (perlu), kerana ada akses kepada kerajaan untuk ambil projek.

“Kita tak sokong usul ini melainkan dipinda satu landasan undang-undng dalam akta. Kalau motion (usul) sahaja no point (tak ada makna).

“Jangan gopoh, kita kaji implikasi. Jangan kita terdesak, kita buat nanti tarik balik. Kena teliti sebelum bentang,” katanya, lapor Malaysiakini.

Pada 27 Jun lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan akan membentangkan usul di parlimen bagi mewajibkan semua Anggota Parlimen mengisytiharkan pendapatan dan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, ahli parlimen Kubang Kerian itu berkata, Pas ada membincangkan perkara tersebut melalui mesyuarat pramajlis.

Selain merasakan tiada keperluan berbuat demikian, Tuan Ibrahim menambah pengisytiharan harta itu akan menjejaskan keselamatan harta dan individu tersebut, di samping akan menimbulkan rasa dengki terhadap pihak lain.

“Ia melibatkan isteri, anak-anak.. kalau kita lihat dalam Islam, hadis nabi sebut, Tuhan bagi kamu harta, jangan kamu heboh kepada orang ramai kerana dengki orang ramai.

“Soal keselamatan bila kita isytihar, keselamatan harta dan invididu perlu diambil kira,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )