Perak anjur Kempen Setia Perakku dekati penjawat awam

Perak anjur Kempen Setia Perakku dekati penjawat awam

IPOH: Kerajaan Negeri Perak mengambil langkah melaksanakan ‘Kempen Setia Perakku’ buat julung kalinya sebagai usaha mendekati penjawat awam secara lebih dekat.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata menerusi pendekatan itu diharapkan dapat membina keyakinan penuh golongan berkenaan terhadap kerajaan memerintah.

Beliau berkata kempen berkenaan merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan kerjasama penjawat awam.

“Selepas kerajaan (Pakatan Harapan) sudah berusia setahun, ada sedikit laporan yang kita terima bahawa ada dalam kalangan penjawat awam yang masih lagi ragu-ragu dengan dasar Kerajaan Persekutuan mahu pun kerajaan negeri.

Kakitangan kerajaan mengambil peluang berswafoto dengan Hasnul Zulkarnain di majlis tersebut.
Hasnul beramah mesra dengan pegawai-pegawai kerajaan di majlis yang diadakan di Kompleks KDN Ipoh itu.

Jadi, menerusi kempen ini, ia merupakan salah satu kaedah untuk kita menyampaikan dan mendekati penjawat awam untuk kita memperolehi kepercayaan dan kesetiaan mereka,”katanya.

Hasnul Zulkarnain bercakap kepada pemberita selepas merasmikan kempen berkenaan bersama penjawat awam di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dihadiri kira-kira 500 orang di Dewan Bankuet KDN di Meru Raya di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya merancang untuk mengadakan satu sesi dialog secara dua hala bagi mendengar suara atau cadangan mengenai penambahbaikan kepada sistem kerajaan ketika ini.

Dalam pada itu, beliau berkata menerusi portfolio di bawah penerangan, pihaknya telah menjelajah 12 daerah di negeri ini untuk bertemu dengan pemimpin masyarakat.

“Fasa seterusnya adalah dengan penjawat awam di pihak kementerian dan selepas itu kita akan mengadakan pertemuan dengan golongan belia,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )