Agensi keusahawanan perlu permudah urusan usahawan, tegas Asmuni

Agensi keusahawanan perlu permudah urusan usahawan, tegas Asmuni

IPOH: Semua agensi yang berkaitan dengan keusahawanan diminta sentiasa membimbing dan mempermudahkan segala urusan termasuk bantuan pinjaman kepada para usahawan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Perak, Asmuni Awi berkata usaha sedemikian dapat menggalakkan lebih ramai terlibat dalam bidang keusahawanan.

Menurutnya, dengan memudahkan segala urusan, para usahawan boleh mengembangkan lagi perniagaan mereka ke arah yang lebih maju dan cemerlang.

“Sesetengah usahawan ini hanya memerlukan bantuan dari jumlah yang kecil untuk memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan mereka.

“Saya yakin sekiranya mereka ini dapat dibantu, industri keusahawanan akan berkembang maju dan usahawan dapat meraih pendapatan lumayan dan menyara keluarga, “ katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Usahawanita 2019 di Seri Iskandar, Ahad lalu.

Seramai 129 usahawan dari pelbagai bidang dari daerah Perak Tengah dan Manjung hadir ke seminar sehari anjuran Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak (Penyedar) itu.

Asmuni berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan kerjasama daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) agar dapat membuka pejabat di Pusat Pembangunan Usahawan, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di sini, bersama agensi lain seperti SME Corporation Malaysia (SME Corp), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tekun Nasional.

“Dengan kehadiran SSM itu nanti, pusat sehenti kepada usahawan dan bakal usahawan akan lebih lengkap untuk mereka mendapat maklumat berkaitan inisiatif kerajaan, pembiayaan serta pinjaman kewangan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pihaknya telah menganjurkan seminar usahawan sebanyak lima kali dalam usaha memberi bimbingan kepada masyarakat untuk menceburi bidang usahawan.

Katanya, seminar usahawan siri keenam bagi zon barat akan berlangsung pada 21 Julai ini di Grand Court Hotel, Menara GSM, Jalan Padang Tembak,Teluk Intan.

“Kami mengajak semua usahawan khususnya berhampiran Teluk Intan, Pasir Salak, Bagan Datoh dan Lumut untuk bersama-sama dalam seminar ini.

“Sebarang pertanyaan dan penyertaan, boleh terus WhatsApp di nombor 019-8993864” jelasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )