Perak negeri pertama laksana projek internet berkelajuan tinggi TNB

Perak negeri pertama laksana projek internet berkelajuan tinggi TNB

IPOH: Perak bakal menjadi negeri pertama yang akan melaksanakan projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) selepas projek rintis di Jasin, Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, projek yang dibangunkan oleh kerajaan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata, TNB telah membentangkan cadangan untuk mereka menyediakan infrastruktur gentian optik kepada kerajaan negeri semasa Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak semalam.

Jelasnya, apabila kemudahan ini dilaksanakan kelak, penduduk di negeri Perak akan menikmati kelajuan internet yang lebih baik termasuklah di kawasan luar bandar.

“Mesyuarat semalam telah bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh TNB. Cuma kita akan perhalusi dalam tempoh seminggu dua ini beberapa perkara seperti permintaan TNB untuk mengakses jaringan dengan pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah.

“Kerajaan negeri juga perlu menyediakan beberapa keperluan bagi memastikan tiada gangguan dalam tempoh penyediaan infrastruktur jalur lebar itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas selepas merasmikan Program Hebahan Perancangan Bandar Pintar Malaysia Peringkat Negeri Perak, di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh, di sini, hari ini.

ADUN Titi Serong itu menegaskan, dengan adanya kemudahan internet yang pantas selepas perlaksanaan projek ini beliau yakin ia akan menjadi daya penarik kepada pelabur untuk melabur di negeri ini.

“Saya yakin projek tersebut akan dimulakan pada tahun ini dan khabar gembira itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Semoga rakyat Perak mendapat nikmat daripada projek yang diusahakan ini,” jelasnya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )