Perak saran NGO anjur program berbentuk keselamatan

Perak saran NGO anjur program berbentuk keselamatan

IPOH: Kerajaan Negeri Perak sentiasa mengalu-alukan usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan program kesedaran kepada orang ramai bagi menghadapi kemungkinan bencana alam.

Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata penganjuran program sedemikian juga dapat membantu menyelamatkan nyawa semasa bencana.

“Sebagai contoh, semasa berlakunya bencana alam seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh, kebakaran atau ribut taufan, orang ramai dapat mengetahui langkah-langkah awal yang perlu ditangani supaya tidak panik apabila berlaku sesuatu kejadian.

“Adalah penting untuk orang ramai mempelajari langkah-langkah keselamatan sekiranya berlaku bencana alam kerana menerusi kempen keselamatan yang dianjurkan, ia mampu memberi pendidikan dan informasi mengenai langkah-langkah pencegahan apabila berlaku sesuatu tragedi atau bencana di kawasan setempat,” katanya.

Hasnul Zulkarnain bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Kempen Pendidikan Kesihatan Pameran dan Derma Darah Tragedi Alam Malaysia yang turut dihadiri Pengerusi Pertima, Datuk Murni Mohd Sidek di Meru, Ipoh semalam, lapor Bernama.

Terdahulu dalam ucapannya, Hasnul Zulkarnain mengajak NGO yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk menyertai Majlis Pembangunan dan Pemuafakatan NGO Negeri Perak (Mappan) yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Katanya peranan Mappan adalah untuk menyelaras, menggerak, memperkasa dan memantau NGO menerusi inisiatif berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan ke arah pembangunan serta kesejahteraan rakyat di negeri ini.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )