Ahmad Suaidi dilantik Datuk Bandar Ipoh

Ahmad Suaidi dilantik Datuk Bandar Ipoh

IPOH: Bekas Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri Selangor Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh yang baharu. 

Pelantikan beliau sebagai Datuk Bandar ke-11 Ipoh berkuat kuasa pada 1 Julai lepas bagi menggantikan Datuk Zamri Man yang dipendekkan perkhidmatan mulai 17 Feb lepas atas faktor kesihatan. 

Ahmad Suaidi, 49, yang juga bekas Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor mengangkat sumpah jawatan di hadapan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini. 

Anak jati Perak berasal dari Changkat Jering itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) (Bioteknologi) dari Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Sarjana Informasi Global dan Pengajian Telekomunikasi dari Universiti Waseda, Tokyo, Jepun. 

Dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah, Ahmad Suaidi berkata beliau akan meneruskan agenda reformasi Majlis Bandaraya Ipoh berteraskan pembangunan mampan.

“Saya juga akan meneruskan ‘tag line’ Ipoh Bersih, Hijau dan Maju, selain menambah baik sistem perbandaran pintar,” katanya. 

Sementara itu, Ahmad Faizal berharap Datuk Bandar baharu itu dapat memastikan bandar raya Ipoh memperoleh semula penarafan lima bintang sebagai Pihak Berkuasa Terbaik selepas kali terakhir memperolehnya pada 2016 daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu. 

“Pasukan kita berpengalaman, saya amat yakin tak susah untuk dapat penarafan lima bintang,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )