Hasnul realisasi hasrat bantu pelajar miskin melalui kupon makanan

Hasnul realisasi hasrat bantu pelajar miskin melalui kupon makanan

PARIT BUNTAR: ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain hari ini telah melancarkan Program Seuntai Kasih Seberkas Harapan.

Program ini adalah berbentuk tajaan kupon makanan harian kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan di peringkat sekolah menengah.

Jumlah sekolah yang terlibat dalam program ini adalah sebanyak 8 buah sekolah menengah di DUN Titi Serong iaitu seramai 57 orang pelajar yang terdiri dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5.

Pelajar yang terpilih akan dibekalkan kupon setiap hari yang bernilai RM3.00 untuk membeli makanan di kantin.

Hasnul berkata, idea untuk melaksanakan program ini pada mulanya tercetus semasa beliau membuat rondaan pemantauan sesi pembukaan sekolah bersama-sama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) pada awal tahun ke sekolah-sekolah di bawah DUN Titi serong.

“Semasa saya berada di sekolah rendah, terdapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) tetapi malangnya program ini tidak diteruskan untuk pelajar sekolah menengah.

“Daripada tinjauan, saya mendapati terdapat beberapa pelajar yang tidak makan semasa waktu rehat, ada yang memberitahu bahawa mereka hanya makan di rumah sebelum ke sekolah dan selepas balik dari sekolah.

“Terdapat juga pelajar yang mencatu perbelanjaan mereka untuk membeli keperluan sekolah yang lain,” katanya di dalam ucapan perasmian majlis itu yang diadakan di SMK Methodist (ACS), Parit Buntar.

Hasnul menyerahkan replika kupon bantuan kepada salah seorang pelajar yang terpilih.
Hasnul menandatangani plag sebagai gimik perasmian majlis tersebut.
Bergambar bersama pengetua dan wakil penerima kupon bantuan tersebut.

EXCO Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak itu menjelaskan, apabila beliau melihat situasi tersebut, beliau rasa terpanggil untuk mencari jalan bagi membantu pelajar-pelajar seperti itu.

Beliau mengucapkan rasa syukur apabila terdapat banyak NGO, badan-badan korporat dan individu yang pemurah dan berniat baik yang sudi membantu dalam menjayakan usaha ini.

“Dengan berbaki 5 bulan ini, harapnya usaha ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

“Pada akhir tahun nanti, pihak pusat Dun Titi Serong akan mengadakan perbincangan bersama PPD, sekolah terlibat dan juga pihak kantin bagi melihat kelemahan atau isu-isu yang timbul untuk jadikannya lebih baik untuk tahun 2020,” jelasnya.

Beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada PPD Kerian bersama sekolah-sekolah terlibat yang dapat merealisasikan harapannya itu.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )