Paul Yong nafi tuduhan rogol, yakin kebenaran mengatasi kebatilan

Paul Yong nafi tuduhan rogol, yakin kebenaran mengatasi kebatilan

IPOH: Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong menafikan dakwaan beliau merogol bekas pembantu rumahnya warga Indonesia.

Katanya, beliau sangat terkejut dan keliru dengan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya itu.

“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya atas tudahan yang tidak berasas tersebut.
“Saya ingin menekankan bahawa saya langsung tidak pernah merogolnya, mencabul kehormatannya atau melakukan apa-apa gangguan terhadap dia,” katanya dalam satu kenyataan.

Adun Tronoh itu menjelaskan, beliau telah memberi kerjasama penuh kepada polis dan membawa saksi untuk membantu siasatan untuk menunjukkan dakwaan tersebut adalah fitnah.

“Saya akan menghormati proses undang-undang yang sewajarnya dan percaya pihak polis akan menjalankan siasatan secara profesional dan telus,” katanya lagi.

Beliau percaya, pihak polis akan menjalankan siasatan secara profesional dan telus serta yakin kebenaran akan mengatasi kebatilan.

Terdahulu peguamnya Leong Cheok Keng berkata Yong hadir ke balai polis semalam.

Ketua Polis Perak Rozarudin Husain berkata pihaknya telah mengambil keterangan daripada pengadu warga Indonesia berusia 23 tahun, yang mendakwa kejadian berlaku di rumah Yong di Meru, Ipoh.

Dia juga telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan kini diletakkan di tempat yang selamat sementara siasatan berjalan, kata Rozarudin.

Kes disiasat menigkut Seksyen 376 Kanun Kesalahan atas kesalahan rogol.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )