Yong mungkin perlu cuti jika siasatan polis berlanjutan – MB

Yong mungkin perlu cuti jika siasatan polis berlanjutan – MB

KUALA LUMPUR: Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang disiasat atas dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia, boleh dinasihatkan untuk bercuti atau dihadkan tugas sekiranya proses siasatan polis terhadapnya mengambil masa yang lama.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata tindakan itu perlu bagi memudahkan proses siasatan polis berhubung kes terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu.

“Sekarang cuma ada siasatan bukan ada sebarang pendakwaan jenayah. Oleh itu saya fikir beliau boleh menjalankan tugas seperti biasa.

“Namun, saya fikir jika siasatan ini berlanjutan dalam satu jangka masa yang panjang, mungkin boleh dinasihatkan untuk beliau mengambil cuti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan yang bersesuaian dikenakan terhadap ahli Exco itu sementara siasatan polis sedang berjalan.

Ditanya sama ada arahan bercuti akan dikeluarkan jika Choo Kiong didakwa di mahkamah, Ahmad Faizal, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, berkata perkara itu akan dibincangkan secara mendalam dengan mengambil nasihat daripada kepimpinan PH sebelum membuat sebarang keputusan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menjelaskan Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco negeri Perak yang dijadual hari ini ditangguhkan kerana siasatan kes berkenaan.

“Angkat sumpah ditangguhkan kerana ada siasatan ke atas seorang Exco saya, maka tak sesuai jika saya teruskan kerana Exco terbabit sepatutnya turut sama mengangkat sumpah,” katanya.

Semalam, Choo Kiong, 49, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, dalam kenyataan, menyifatkan dakwaan terhadapnya sebagai tuduhan palsu dan tidak berasas.

Selasa lalu, media melaporkan pembantu rumah berkenaan berusia 23 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Jelapang, Perak, Isnin lalu dengan mendakwa dirinya dicabul dan dirogol oleh majikannya yang juga ahli Exco kerajaan Perak sehari sebelum itu di sebuah kediaman di Meru, Jelapang, Perak.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid memaklumkan mangsa berusia 23 tahun itu kini ditempatkan di lokasi selamat sehinggalah kertas siasatan mengenainya dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Timbalan Pendakwa Raya.

Sementara itu di IPOH, setiausaha sulit Choo Kiong, Teoh Hui Yng (rpt: Yng) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini selepas menerima panggilan daripada seorang ahli politik tempatan semalam sehingga menyebabkan dirinya rasa terganggu.

”Saya terima panggilan kira-kira pukul 1 tengah hari semalam ketika berada di pejabat Choo Kiong di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh daripada seorang ahli politik.

“Dia (pemanggil) bertanya adakah saya pernah mengalami gangguan seksual oleh ‘dia’ (Choo Kiong), tapi dia (pemanggil) tidak menyebut apa-apa nama. Jika ada, jangan buat bodoh dan berdiam diri, pergi buat laporan polis, kita semua tahu ‘dia’ ada kecenderungan ini, “katanya yang ditemani oleh peguam, Leong Cheok Keng.

Teoh, yang telah tujuh bulan berkhidmat dengan Choo Kiong, berkata beliau kemudian menjawab pertanyaan itu dan menafikan sekeras-kerasnya perkara tersebut serta meminta individu berkenaan agar tidak membuat tuduhan terhadap Choo Kiong.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )