Isu Exco Perak tidak jejas keyakinan pelaburan

Isu Exco Perak tidak jejas keyakinan pelaburan

BATU GAJAH: Isu kontroversi berhubung kes rogol dan rasuah melibatkan dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) Perak tidak menjejaskan keyakinan pelabur untuk terus melabur di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata pihaknya masih menerima kunjungan daripada pelabur yang menyatakan hasrat terus menanam modal di Perak seperti yang dirancang sebelum ini.

“Saya didatangi tiga, empat pelabur setiap hari jadi aktiviti pelaburan berjalan seperti biasa tanpa sebarang kesan, tidak ada kesan negatif walaupun ketika ini dua exco dikaitkan dengan pelbagai isu.

“Pentadbiran kerajaan negeri juga tidak mempunyai apa-apa kesan langsung dan kita masih meneruskan kerja-kerja dari sehari ke sehari,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke projek pembinaan masjid baharu di Kampung Seri Jaya di sini, hari ini.

Ditanya mengenai keperluan untuk Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melakukan rombakan Exco, Mohammad Nizar berkata ia merupakan hak mutlak sepenuhnya menteri besar untuk membuat sebarang keputusan.

Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat berkata pada kebiasaannya menteri besar akan merujuk kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri kerana rombakan merupakan satu tindakan dasar.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru.

Sabtu lepas, Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean yang juga bekas pegawai khas Abdul Yunus Jamhari, membuat laporan polis mendakwa Exco berkenaan membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, bagi mendapatkan komisen daripada dua syarikat pertanian.

Abdul Yunus yang memegang portfolio Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan menjelaskan perkongsian pelbagai maklumat dan data kerajaan negeri dibuat atas kapasiti sebagai wakil rakyat, dan penting untuk menyelesaikan pelbagai aduan, serta masalah rakyat di kawasan yang diwakilinya di Kuala Kurau.

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata masjid baharu yang terbengkalai pembinaannya hampir dua tahun itu dijangka akan siap sepenuhnya menjelang penghujung Ogos ini.

“Apabila siap sepenuhnya, masjid ini mampu menempatkan kira-kira 500 jemaah pada satu-satu masa,” katanya menambah sejumlah RM2.5 juta kos bagi pembinaan masjid itu.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )