KDM janjikan pengalaman digital, ‘moh’ datang ramai-ramai ke Ipoh

KDM janjikan pengalaman digital, ‘moh’ datang ramai-ramai ke Ipoh

IPOH: Ingin merasakan pengalaman digital menyeronokkan? ‘Moh kome’ datang beramai-ramai ke Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru sempena Kembara Digital Malaysia (KDM) 2019, akhir minggu ini.

Karnival berteraskan digital anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia sempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia itu akan berlangsung selama dua hari mulai 27 Julai ini dari 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dijangka merasmikan KDM 2019 itu pada Sabtu ini.

Apa yang menarik di KDM? Banyak…antaranya pertandingan ‘E-Sport FIFA 19’ yang dijangka disertai 64 peserta; perlumbaan dron serta tidak ketinggalan tayangan perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah di pentas utama pada 27 Julai ini.

Aktiviti bersama keluarga turut diadakan antaranya ‘face painting/buskers’; pertandingan karaoke; pertandingan mewarna dan melukis dan bagi ‘kaki’ membeli-belah dalam talian, jangan lepaskan peluang mendapatkan baucar RM10 daripada Shopee yang terhad kepada 1,000 pengunjung.

Acara menarik lain ialah Zumba Bersama pelakon Nadia Brian, persembahan artis terkenal iaitu Ameng Spring, Andi Bernadee dan Naim Daniel serta penampilan khas ‘social media influencer’, Sterk Production.

Kira-kira 50 pempamer terdiri daripada penyedia perkhidmatan jalur lebar, pengeluar/pengedar perkakasan dan perisian ICT serta agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri akan mengambil bahagian sepanjang dua hari KDM.

Antara objektif penganjuran KDM adalah untuk menyampaikan serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai faedah dengan adanya infrastruktur jalur lebar serta kepentingannya.

Selain itu, KDM bermatlamat memberi pendedahan teknologi digital kepada orang ramai, mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu kepada belia melalui perniagaan dalam talian dan seterusnya menggalakkan penglibatan dalam ekonomi digital.

KDM juga bertujuan menjadi platform kepada orang ramai untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dalam talian yang disedikan oleh agensi kerajaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, berkata lokasi penganjuran di Meru bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikannya sebuah bandar pintar di negeri ini.

Beliau turut menyeru warga Perak khususnya pemain industri supaya datang beramai-ramai ke KDM kerana ia melibatkan jaringan digital yang besar seterusnya memberi banyak peluang untuk mereka terus berkembang.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )