PAC dedah akaun MB Inc. tidak pernah diaudit

PAC dedah akaun MB Inc. tidak pernah diaudit

IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak, Leong Cheok Keng mendedahkan bahawa akaun Perbadanan Menteri Besar (MBInc.) tidak pernah diaudit sejak awal penubuhannya.

Katanya, PAC berpuas hati setelah dibuktikan saksi-saksi bahawa tidak benar MBInc. dahulunya ada membuat audit malahan tiada akuan aktif tahunan.

“Tidak benar bahawa dulunya telah pun ada audit akaun untuk MBInc, hasil dapatan dari PAC mendapati semasa pendengaran akaun MBInc. masih belum diaudit,” katanya, lapor Perak Today.

Cheok Keng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar turut mendedahkan terdapat 17 syarikat yang meminta pemulangan semula duit yuran komitmen berjumlah RM 20.6 juta daripada MBInc.

“Sebenarnya MBInc. tak mampu membayar dan memulang wang itu kerana telah dibelanjakan untuk kos operasi malahan kita perlu tanggung beban akibat pengurusan lama, dan kita sedang mencari jalan untuk rundingan dengan pelabur atau pengusaha,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu penerbitan dan edaran majalah Brand Laureate yang membabitkan 3000 naskah terbitan yang bernilai RM 374,000.

“Secara keseluruhan, jumlah naskah terbitan ialah 3000 buah, tetapi sebanyak 2,783 naskah masih tak diedarkan malah masih berada dalam bilik stor.

“Perkara ini disahkan oleh pengurusan CEO MBInc. dimana ianya masih dalam simpanan dan tak diedarkan kepada ADUN sebelum ini,”katanya.

Ujarnya lagi, PAC telah menghasilkan penjimatan RM 400,000 sebulan pada tahun lepas setelah melakukan kerja-kerja rasionalisasi dan membuktikan pengurusan baharu berjaya menangani masalah pembaziran.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )