Perak terima suntikan pelaburan RM1.43 bilion

Perak terima suntikan pelaburan RM1.43 bilion

IPOH: Sebanyak RM1.43 bilion nilai pelaburan telah diluluskan kerajaan negeri pada suku pertama tahun ini berbanding RM249.8 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2018.

Industri berasaskan elektrik dan elektronik merupakan antara penyumbang utama menerusi pelaburan beberapa syarikat multinasional Jepun yang melabur sebanyak RM519.7 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pelaburan dalam sektor ini adalah sesuai dan memberi impak kepada pembangunan ekonomi dan rakyat.

Menurut beliau, kira-kira 69 peratus daripada projek yang diluluskan merupakan projek pembesaran dengan nilai RM1,566.3 juta dan bakal menawarkan 1,563 pekerjaan.

“Pada tahun lalu sebanyak 57 projek diluluskan meliputi pelaburan sebanyak RM2.27 billion di dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan dengan RM522.1 juta merupakan projek baru.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM848 juta merupakan jenis pelaburan langsung asing (FDI), manakala RM585 juta merupakan jenis pelaburan tempatan (DDI),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohamad Noor Dawoo (BN-Selinsing) tentang jenis pelaburan baharu berimpak tinggi yang dibawa masuk ke negeri ini pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, lapor Utusan.

Jelas Mohammad Nizar, lima industri utama yang menjadi tarikan pelabur adalah produk berasaskan getah , petrokimia, mineral, produk kimia dan elektronik.

Beliau berkata, statistik menunjukkan daerah Kinta mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi sebanyak RM1.19 bilion diikuti Manjung (RM201.9 juta) dan Hilir Perak (RM5.52 juta).

“Namun, bukan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menikmati taburan pelaburan sama disebabkan sesetengah kawasan DUN masih belum mempunyai kawasan industri tersusun.

“Bagaimana pun kita akan berusaha memberi peluang sama rata kepada semua daerah untuk menikmati pelaburan,” ujarnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )