Pemuda AMANAH perlu progresif tarik sokongan orang anak muda

Pemuda AMANAH perlu progresif tarik sokongan orang anak muda

IPOH: Pemuda AMANAH Negeri Perak perlu agresif dan progresif mewujudkan program-program dalam usaha menyantuni anak muda.

Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi berkata, Pemuda AMANAH perlu terus-menerus membina ‘attachment’ dengan anak muda di kawasan masing-masing.

“Saya berasa teruja apabila mendengar buah fikiran setiap daripada mereka yang begitu segar dan bernas terutama berkaitan bagaimana menguatkan parti dan barisan pemuda dalam parti.

“Saya turut berkongsi dengan mereka berkaitan betapa pentingnya komposisi anak muda dalam menggerakkan Parti AMANAH terutamanya di Perak,” kata Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kunjungan hormat Pemuda AMANAH Negeri Perak ke pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, disini semalam.

Asmuni Awi memberi pandangan yang membina kepada kepimpinan Pemuda AMANAH Perak.

Kunjungan Pemuda AMANAH Perak itu diketuai oleh Ketua Pemudanya, Mohd Syamsul Alauddin bersama ahli jawatankuasanya.

Asmuni berkata, beliau sangat optimis bahawa barisan jawatankuasa yang baru ini dapat meneruskan kecemerlangan Pemuda AMANAH Perak sekaligus menyumbang kepada kekuatan AMANAH Perak.

“Saya selaku Pengerusi AMANAH Perak akan terus memberi sokongan sepenuhnya kepada Pemuda AMANAH Perak.

“Semoga Pemuda AMANAH Perak dapat meneruskan kecemerlangannya dengan kesatuan bersama,” katanya lagi.

Pertemuan tersebut diisi dengan perkongsian pandangan, idea dan pembentangan serba sedikit perancangan Pemuda AMANAH Perak secara umum.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Syamsul menyatakan bahawa antara usaha yang akan dititikberatkan oleh barisan kepimpinan yang baru ini ialah memantapkan setiap ketua pemuda kawasan.

Katanya, jika ketua pemuda berjaya dimantapkan, maka kawasan juga akan turut mantap.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )