Layak undi umur 18 tahun beri anak muda kuasa besar corak negara – Sultan Nazrin

Layak undi umur 18 tahun beri anak muda kuasa besar corak negara – Sultan Nazrin

IPOH: Had layak mengundi pada umur 18 tahun bukan sekadar memberi hak kepada golongan remaja, sebaliknya perlu ditafsir sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda mencorak kepimpinan negara dan memilih kerajaan.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah memilih kerajaan adalah perkara serius kerana nasib rakyat dan negara bergantung pada mereka yang diberikan kuasa untuk membentuk kerajaan.

“Penilaian hendaklah diasaskan kepada pemikiran yang rasional berteraskan fakta dan bukannya sentimen serta emosi,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen ke-48, Politeknik Ungu Omar di sini, hari ini.

Seramai 2,270 graduan akan menerima sijil, diploma dan ijazah sepanjang tiga hari istiadat konvokesyen yang bermula hari ini.

Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pengundi, sebelum Dewan Negara pula meluluskannya pada 25 Julai.

Titah Sultan Nazrin, anak muda perlu dibimbing agar berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang membina, sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan serta elemen-elemen wajib dimiliki oleh pemimpin.

“Anak muda perlu dibimbing untuk memiliki nilai-nilai moral yang betul berpaksikan undang-undang, memiliki kematangan menilai antara yang makruf dengan yang mungkar, arif membezakan antara fakta dengan fitnah, bijaksana mengenali antara permata dengan kaca.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )