Koperasi sekolah mampu beri impak pertumbuhan ekonomi negeri

TAIPING: Koperasi sekolah mampu memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perak berdasarkan catatan perolehan yang dijana pada tahun 2018 oleh kesemua koperasi sekolah di negeri ini berjumlah RM35.4 juta.

“Jumlah syer terkumpul koperasi sekolah di negeri Perak adalah berjumlah RM2,635,750 dengan jumlah aset bernilai RM33,701,610.

“Manakala keseluruhan perolehan yang dicatatkan oleh koperasi sekolah di Negeri Perak pada tahun 2018 adalah sebanyak RM35,481,263” kata Asmuni Awi selaku Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan semasa ucapan perasmian Majlis Penutup Konvensyen Young Entrepreneur Strive For Success (YESS) bertempat di Hotel Taiping Perdana, disini hari ini.

Asmuni turut menyatakan harapannya agar semua guru dan para pelajar anggota koperasi supaya bekerja bersungguh-sungguh dan seikhlas mungkin untuk memajukan koperasi ke arah yang lebih baik sama ada dari segi pulangan atas modal syer mahupun pulangan dalam bentuk kebajikan seperti dermasiswa dan sebagainya.

“Oleh itu diharapkan agar koperasi sekolah dapat diuruskan dengan penuh integriti supaya isu penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya pada peringkat ini tidak wujud sama sekali.

“Selaras dengan slogan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 iaitu Negara Keusahawanan Unggul 2030”, katanya lagi.

Menurutnya, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan keseluruhan teras strategiknya diharap menjadi tonggak kepada daya saing negara di waktu negara berhadapan medan persaingan ekonomi global dan ledakan arus perubahan teknologi yang berkait terus dengan Industri 4.0.

“Gerakan Koperasi di Negara ini perlu lebih responsif dan proaktif dan dasar ini disediakan untuk mencapai matlamat tersebut”, jelasnya.

Majlis yang disertai oleh sembilan buah koperasi sekolah itu, turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak, Azam Sulaiman.

Asmuni Awi turut menyampaikan cenderahati kepada semua wakil koperasi yang terlibat dalam majlis berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *