ADUN Perak perlu lengkapkan borang isytihar harta sebelum 23 Okt

ADUN Perak perlu lengkapkan borang isytihar harta sebelum 23 Okt

IPOH: Kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak mempunyai tempoh selama tiga bulan untuk melengkapkan maklumat pada borang pengisytiharan harta masing-masing sebelum diserahkan selewat-lewatnya pada 23 Oktober ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Ngeh Koo Ham berkata borang pengisytiharan harta kesemua ADUN, sama ada pihak kerajaan dan pembangkang perlu dihantar sebanyak dua salinan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beliau sendiri untuk tindakan selanjutnya.

“Akuan berkanun borang pengisytiharan harta Adun telah dihantar secara pos laju pada Rabu (21 Ogos) lepas untuk dilengkapkan oleh ADUN sebelum atau pada 23 Oktober iaitu dalam tempoh tiga bulan dari tarikh usul diluluskan pada 23 Julai lepas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata taklimat pengisytiharan harta akan diadakan di Hotel Casuarina, Meru di sini pada 28 Ogos ini bagi memberi penerangan untuk mengisi borang pengisytiharan harta tersebut.

“Saya memohon kerjasama semua ADUN untuk mengemukakan maklumat pengisytiharan harta kerana ini merupakan satu cara memastikan wakil rakyat telus dan tidak terlibat dalam apa-apa jenis rasuah,” katanya.

Sementara itu, Ngeh berkata mana-mana Adun yang enggan mengisytiharkan harta akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak sama ada dikenakan tindakan disiplin atau berbentuk hukuman.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )