Melaka sedia kerjasama pelaburan dengan Perak

Melaka sedia kerjasama pelaburan dengan Perak

IPOH: Kerajaan negeri Melaka sedia bekerjasama dan berkongsi kepakaran dengan kerajaan Perak bagi meningkatkan hasil ekonomi kedua-dua negeri, terutama dalam aspek pelaburan.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, berkata pihaknya sudah melebarkan sayap pelaburan ke kedua-dua negeri iaitu Sabah dan Kedah dalam pelbagai sektor.

Katanya, kerajaan Melaka mengenal pasti Perak sebagai negeri berpotensi untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan dan industri berasaskan pertanian.

“Melaka memang mempunyai beberapa kepakaran, contohnya dalam pembangunan sungai manakala Perak mempunyai tasik yang boleh dibangunkan.

“Kalau kita lihat dalam sektor penternakan, Melaka adalah antara negeri pengeluar terbesar ikan keli di Malaysia dan dalam sektor pelancongan seperti ‘cruise’ di Sungai Melaka serta industri berasaskan pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Gopeng Kali Keempat di sini, kelmarin, lapor BH Online.

Adly yang juga Ahli Jawatankuasa Nasional AMANAH mengalu-alukan kerjasama daripada kerajaan Perak termasuk agensi kerajaan negeri dan individu mahupun pihak swasta.

“Kita amat mengalu-alukan kerjasama dan agensi kerajaan negeri Melaka memang boleh menanam modal di Perak,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )