Perak sambut baik cadangan SPRM wujudkan unit integriti

Perak sambut baik cadangan SPRM wujudkan unit integriti

IPOH: Kerajaan negeri Perak menyambut baik cadangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya agar semua negeri mewujudkan unit integriti di Pejabat Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi mencegah amalan rasuah dan penyelewengan.

Malah menurut Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu ketika beliau mula menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar, memang ada seorang pegawai integriti daripada SPRM ditempatkan di pejabatnya.

“Namun pegawai itu telah dinaikkan pangkat dan berpindah ke tempat lain. Sehingga kini, kekosongan itu masih belum diisi dan saya akan berbincang dengan pihak SPRM mengenai perkara tersebut.

“Saya berpandangan cadangan itu cukup baik dan kami di Perak sudah tentu akan menyahut seruan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Sempena Program Sayangi Sawitku Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan SUK, hari ini sebagaimana dipetik di Facebook Ahmad Faizal.

Latheefa ketika dalam sesi dialog di Terengganu semalam menyatakan kesediaan SPRM untuk meletakkan pegawai kanan di Unit Integriti Pejabat Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi memastikan tadbir urus yang telus.

Selain unit integriti, Latheefa menyifatkan pengisytiharan harta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketelusan dalam isu-isu berkaitan juga sangat membantu kerajaan negeri dalam mewujudkan pentadbiran bebas rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

Justeru beliau turut menzahirkan harapan supaya negeri-negeri lain mencontohi Perak yang telah menjadi negeri pertama mewajibkan semua ADUN mengisytiharkan harta, seperti diputuskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )