Perak mansuh penalti syarat nyata tukar tanah tanaman sawit

Perak mansuh penalti syarat nyata tukar tanah tanaman sawit

IPOH: Kerajaan negeri Perak tidak akan mengenakan penalti terhadap penanam sawit yang melanggar Syarat Nyata Tanah mereka tanpa kelulusan terlebih dahulu bagi tujuan menanam kelapa sawit.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perkara itu diputuskan bagi memastikan setiap penanam sawit di negeri ini memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Selain memansuhkan penalti, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri juga akan memberi diskaun premium tambahan bagi yang menukar status tanah daripada RM300 sehektar kepada RM100 sehektar.

“Kerajaan Perak memberi sokongan penuh kepada usaha Kementerian Industri Utama untuk membantu para pengusaha sawit mendapatkan pensijilan MSPO. 

“Kerajaan negeri telah meluluskan penukaran Syarat Nyata kepada tanaman sawit atau pertanian bagi 791 pengusaha tanaman kelapa sawit di Perak melibatkan jumlah keluasan 1460.37 hektar,” katanya kepada pemberita selepas taklimat MSPO Penanam Sawit Perak di sini hari ini. Hadir sama, Menteri Industri Utama Teresa Kok. 

Dalam pada itu, Kok berharap kerajaan negeri lain dapat mengikut jejak kerajaan negeri Perak memudahkan pertukaran Syarat Nyata Tanah.

“Saya memang berharap kerajaan negeri lain dapat mengikut apa yang dilakukan kerajaan negeri Perak untuk membantu pekebun kecil menukar Syarat Nyata Tanah bagi tanaman kelapa sawit,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Kok berkata sehingga 31 Julai lepas, seluas 2.75 juta hektar atau 47 peratus daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO.

Pensijilan tersebut meliputi 2.35 juta hektar ladang dan 403,000 hektar pekebun kecil.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )